Hishammuddin Hussein

KUALA LUMPUR – Seramai 150 jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 30 Jun lalu kerana tidak mendapat visa daripada Arab Saudi dijadual berlepas petang esok.

Masalah itu berjaya diatasi dengan campur tangan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, menurut seorang bapa, Osman Baba, 60.

Beliau mengucapkan rasa syukur kerana keprihatinan Hishammuddin membolehkan anaknya bersama 149 orang bakal jemaah dapat menunaikan rukun Islam yang kelima itu.

“Saya rasa syukur sangat,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Katanya, sepatutnya penerbangan Khamis lalu adalah penerbangan terakhir yang membawa jemaah dari Malaysia, malangnya kerana masalah tersebut jadual berlepas terbatal.

Beliau yang tidak menyalahkan mana-mana pihak menyifatkan kejadian itu ada hikmahnya dan semuanya berlaku dengan izin Allah.

“Tak mengapa, cuma sepatutnya mereka ni dah sampai tetapi ada masalah visa pulak.

“Hari tu semua dah siap sedia. Dah pakai ihram semua, tup-tup tak jadi. Saudia Airlines terbang balik tanpa penumpang la,” tambah beliau.

Osman berkata, jemaah haji itu bakal berlepas pada jam 3 petang dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines. – MalaysiaGazette