Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Halim (tujuh kanan) selepas selesai memberi keterangan berkenaan perhimpunan mahasiswa yang membantah kenaikan harga barang di di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 04 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Seramai enam ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR dirakam keterangan oleh polis berhubung penglibatan mereka pada Himpunan Barang Naik anjuran mahasiswa di Pasar Seni pada Sabtu lalu.

Kesemua mereka hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, pada jam 3 petang dan keluar dari bangunan tersebut 57 minit kemudian.

Ahli AMK, Adam Adli Abd Halim menyifatkan tindakan pihak polis memanggil peserta perhimpunan itu merupakan satu bentuk intimidasi terhadap mereka.

Beliau berpendapat intimidasi ini tidak seharusnya dilakukan memandangkan mereka berhimpun untuk menunjukkan solidariti dan mewakili rakyat yang merungut dan terkesan akibat kenaikan kos sara hidup khususnya peningkatan harga barang makanan.

“Saya anggap ini sebagai satu intimidasi berterusan, pagi tadi pun ada sebahagian pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) turut dipanggil untuk disiasat.

“Tahun ini dah banyak kali dipanggil sedangkan kita tahu ini adalah hak yang dijamin dalam perlembagaan negara untuk berhimpun dan berucap.

“Lagipun himpunan itu berlangsung tanpa masalah secara aman menyuarakan pandangan anak muda yang turut terjejas dengan kenaikan harga barang dan memerlukan tindakan serius kerajaan serta-merta,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.

Peguam, Rabiatul Adawiyah Sulaiman bercakap pada media selepas selesai memberi keterangan berkenaan perhimpunan mahasiswa yang membantah kenaikan harga barang di di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 04 JULAI 2022.

Sementara itu, peguam yang mewakili enam ahli AMK itu, Rabiatul Adawiyah Sulaiman berkata, proses merakam keterangan oleh polis berjalan lancar dan kesemua individu memberi kerjasama.

“Dalam kes ini sebenarnya tiada isu pun, tiada berlaku kekecohan antara mereka semasa hadir ke himpunan itu, cuma isu tiada notis pemakluman perhimpunan berkenaan, itu sahaja.

“Lagipun polis pun tidak mahu memanjangkan proses siasatan kes ini dan mereka menjelaskan ia adalah sebahagian tanggungjawab mereka yang perlu dilaksanakan berlunaskan undang-undang yang ada.

“Polis menggunakan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 untuk menjalankan siasatan ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette