Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Pemilik sebuah syarikat pembekalan pakaian dan aksesori memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau menerima wang tunai berjumlah RM250,000 pada pertengahan April 2020 daripada Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Muhammad Naqib Ab Rahim, 29, berkata, Rafiq Hakim Razali menyerahkan wang tersebut bagi tujuan simpanan dan beliau dimaklumkan sebarang perkembangan berkaitan wang itu akan menyusul kemudian.

Beliau yang juga ahli Armada berkata, selepas Rafiq menyerahkan beg kertas itu dalam tempoh yang pantas, kelihatan beberapa ikatan wang kertas RM100 dalam beg tersebut

“Perasaan saya agak terkejut kerana jumlah tersebut agak besar dan saya pula telah disuruh untuk menyimpan duit tersebut.

“Semasa penyerahan tersebut Rafiq tidak ada memberitahu saya bahawa wang tunai tersebut adalah wang dari akaun rasmi Armada. Saya juga tidak bertanya kepada Rafiq daripada mana sumber wang tunai RM250,000.

“Saya beranggapan sumber kewangan ini adalah dari akaun Armada kerana wang tunai ini diberikan oleh Rafiq sendiri selaku Penolong Bendahari Armada,” katanya.

Keterangan Muhammad Naqib itu dibuat sebagai saksi kelapan perbicaraan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di hadapan Hakim Azhar Abdul Hamid di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini .

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah serta pengubahan wang haram.

Menerusi kenyataan bertulis itu, Muhammad Naqib berpendapat wang yang diserahkan kepadanya adalah wang yang sah dan mengikut tatacara pengeluaran yang betul.

Ini kerana beliau percaya Rafiq mempunyai kuasa untuk menguruskan wang Armada selaku Penolong Bendahari Armada selain individu yang diberikan amanah untuk berurusan dengan pihak bank.

“Oleh itu saya tidak mempunyai perasaan curiga terhadap Rafiq dan wang tunai RM250,000 yang diserahkan kepada saya. Semasa penyerahan wang tunai RM250,000 dari Rafiq kepada saya dan saya sahkan bahawa pada ketika itu saya tidak membuat pengiraan terhadap wang tunai itu.

“Selepas Rafiq menyerahkan wang tunai tersebut, beliau telah keluar daripada kereta saya dan terus beredar untuk balik ke rumah saya di C32, Pv6 Taman Melati, Setapak di Kuala Lumpur. Saya tidak pernah menerima tempahan sebanyak RM250,000 daripada Armada sebelum ini

“Saya juga tidak bertanya kepada Rafiq Hakim kenapa beliau sendiri selaku Penolong Bendahari Armada tidak menyimpan wang ini kerana pada waktu penyerahan tersebut berjalan dengan pantas. Saya tidak terkejut kenapa saya dipilih untuk menyimpan wang tunai RM250,000 ini kerana saya juga merupakan salah seorang pembekal dan pembuat pakaian kepada Armada

“Saya tidak mengetahui punca sebenar duit tersebut dan kenapa tujuan wang tersebut diberikan kepada saya untuk disimpan. Saya beranggapan wang tersebut adalah duit pendahuluan bagi pakaian-pakaian yang bakal ditempah oleh Armada kerana pihak Armada dan Bersatu pernah beberapa kali menempah pakaian dan cenderahati dengan saya.

“Saya telah memindahkan wang daripada paper bag dan saya masukkan ke dalam bag hiking berjenama Osprey dan saya letakkan di bawah katil bilik saya kerana saya merasakan termpat tersebut adalah yang paling selamat di rumah saya,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq, 29, didakwa bersubahat dengan Rafiq yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018. – MalaysiaGazette