KPDN mengesan aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi iaitu minyak masak yang dijual secara dalam talian.

SIBU – Briged ke-31 Infantri Malaysia bersedia untuk membantu pihak penguat kuasa dan kerajaan dalam usaha menggempur aktiviti penyelewengan minyak masak peket bersubsidi.

Panglima 31 Briged Brig Jen Abdul Jalal Zaidi Abdul Majid berkata, tugas pihaknya tidak terhad kepada keselamatan negara semata-mata malah turut melaksanakan penugasan yang diberikan dalam menjaga kepentingan awam di negara ini.

“Saya tunggu arahan seterusnya daripada formasi atasan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Ulangtahun Ketujuh Briged ke-31 Infantri di Kem Junaco di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai arahan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya pihak penguat kuasa menggempur daripada peringkat kilang pembungkusan sehingga sempadan negara bagi memastikan tidak berlaku sebarang penyelewengan minyak masak peket bersubsidi.

Ismail Sabri berkata operasi ini akan dilaksana Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertujuan memastikan peruntukan subsidi minyak masak RM4 bilion tahun ini untuk mengurangkan beban Keluarga Malaysia tidak tiris dalam setiap peringkat rantaian serta sampai kepada pengguna.

Dalam ucapannya pada sambutan tersebut, Abdul Jalal berkata, pada usia tujuh tahun Briged ke-31 Infantri adalah sebuah organisasi yang terlalu muda dan memerlukan pemantauan dan bantuan untuk terus berdiri.

Namun, menurut beliau itu bukan menjadi penghalang untuk pasukan berkenaan menjadi satu ketumbukan yang mempunyai tahap kesiagaan tinggi dan mampu melaksanakan pelbagai bentuk misi dalam pelbagai dimensi bagi mempertingkatkan perkhidmatan kepada rakyat dan negara tercinta.

Briged Ke-31 ditubuhkan pada 1 Julai 2015 di Markas Tentera Darat 2, Kuala Lumpur dan diaturgerakkan ke Kuching pada 10 Feb 2016 sebelum berpindah ke Kem Junaco, Sibu pada 22 Jan 2017.

Batalion di bawah naungan briged itu terdiri daripada 6 Rejimen Sempadan (Kem Junaco, Sibu), 7 Rejimen Sempadan (Kem Similajau, Bintulu), 9 Rejimen Sempadan (Kem Bumimas, Sibu) dan 10 Rejimen Sempadan (Kem Puncak Permai, Bau).

Abdul Jalal turut menyempurnakan majlis pemakaian pangkat untuk dua pegawai dan 20 anggota lain-lain pangkat semasa upacara perbarisan sambutan tersebut. – BERNAMA