Pengarah KPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin ketika membuat pemantauan di Kilang Pemprosesan Pembungkusan dan Pengedar Minyak Masak di Golden Palm Oil Sdn Bhd Cheras, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 05 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Minyak masak berpaket yang didakwa sukar ditemui di pasaran pada 1 Julai lalu bukan berpunca daripada kekurangan bekalan.

Sebaliknya menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin, ia berlaku pada hari tersebut sebab kuota baharu minyak masak baru sahaja diterima.

Ini kerana minyak masak bersubsidi akan diagihkan mengikut kuota masing-masing di setiap premis pembungkusan semula pada setiap awal bulan.

Jelas beliau, ini bermaksud bekalan yang diterima oleh pemborong atau peruncit akan kembali stabil bermula petang 1 Julai lalu dan seterusnya.

Pengarah KPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin.

“Saya nak tekankan semula pada 1 Julai baru-baru ini orang tanya kenapa minyak tidak ada? Bukan tiada tapi pada setiap awal bulan adalah permulaan kuota baharu, jadi biasa berlaku setiap pagi 1 haribulan akan berlaku kekurangan bekalan minyak sebab kuota baru diterima pada pagi itu.

“Penghantaran daripada kilang kepada premis pembungkusan semula dihantar bermula 1 Julai pagi. Pihak ini akan memaksimakan produksi untuk membungkus minyak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di sini hari ini bagi menjawab dakwaan bekalan minyak masak berpaket yang sukar didapati pada 1 Julai lalu yang kebetulan bermulanya penarikan semula subsidi untuk minyak masak berbotol.

Terdahulu Ariffin dan penguat kuasa KPDNHEP di sini telah mengadakan pemeriksaan keberadaan bekalan minyak di pasaran.

Lokasi pemeriksaan yang dijalankan adalah di sebuah premis pembungkusan semula minyak paket bersubsidi di Bandar Tun Razak.- MalaysiaGazette