Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama peguamnya, Gobind Singh Deo hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes yang dihadapinya iaitu empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berjumlah RM1 juta dan pengubahan wang haram di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur Foto AFFAN FAUZI, 05 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Seorang saksi pendakwaan memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa pengeluaran daripada wang RM1 juta yang dikeluarkan daripada akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak mengikut prosedur parti politik itu.

Bekas Penolong Bendahari Armada Bersatu, Rafiq Hakim Razali, 32, berkata, ini kerana kertas kerja tidak disediakan terlebih dahulu seperti yang ditetapkan perlembagaan.

Jelas beliau, kertas kerja perlu disediakan dan diluluskan bagi program parti yang jumlah melebihi RM500,000.

Beliau turut mengakui tujuan pengeluaran wang itu untuk bantuan Covid-19 dan Hari Raya Aidilfitri, selain program kebajikan Armada.

“Tujuan pengeluaran itu tidak ada masalah namun perlu kertas kerja di mana wang yang dikeluarkan untuk tujuan program Armada dan sudah terjebak sejak awal tidak ikut prosedur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika disoal balas peguam, Gobind Singh Deo bagi kes perbicaraan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah serta pengubahan wang haram.

Pada masa sama, Gobind turut menyoal bahawa sebenarnya tiada arahan ‘diminta clear’ wang RM1 juta oleh Syed Saddiq.

Tegas beliau, arahan itu adalah pemahaman Raqib sendiri yang diakuinya sebagai betul.

Gobind berkata, Raqib sebenarnya tidak mengingati arahan yang diberikan kepada.

“Tetapi anda tidak dapat mengingati apa yang dikatakan kepada anda.

“Saya berlaku adil kepada anda. Jangan datang ke sini dan cuba ingat apa yang dikatakan kepada anda. Saya memberitahu anda bahawa itu bukan maksudnya dan Syed Saddiq tidak menggunakan perkataan itu. Itu tafsiran dan pemahaman anda tentang apa yang dia maksudkan, bukan?

“Kamu diminta clearkan RM1 juta tersebut dan jangan simpan duit itu di rumah. Clear bermaksud disposed (buang). Maksudnya buang, bukan? Buang ke dalam sungai? Wang ini bagaimanapun telah dikeluarkan untuk program Armada dan untuk kegunaan aktiviti kebajikan mereka. Jadi mengapa anda mahu membuangnya? Tidak masuk akal.

“Itu pemahaman kamu dan tidak arahan. Kalau kamu tidak pasti apa yang dicakap dan kamu tidak mampu beritahu mahkamah.

“Kalau tidak ada kesalahan, tidak ada sebab SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) akan sita wang kamu,” katanya.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama peguamnya, Gobind Singh Deo hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes yang dihadapinya iaitu empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berjumlah RM1 juta dan pengubahan wang haram di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur Foto AFFAN FAUZI, 05 JULAI 2022.

Semalam Rafiq memberitahu mahkamah Syed Saddiq mengarahkan beliau untuk “clearkan” wang RM1 juta yang dikeluarkan daripada akaun BERSATU kerana ahli Parlimen Muar itu disiasat oleh SPRM.

Jelasnya, beliau menerima panggilan WhatsApp Syed Saddiq sekitar Mac dan penghujung April yang mengatakan SPRM telah memeriksa dan menggeledah di kediaman ahli politik tersebut.

Saksi pendakwaan ke-13 itu berkata Syed Saddiq juga mengarahkan beliau mengagihkan RM650,000 kepada Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Wilayah Persekutuan Muhammad Daniel Kusari dan RM250,000 kepada Muhammad Naqib Ab Rahim, yang ketika itu merupakan ahli Bersatu.

Sementara itu, perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid akan bersambung esok

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq, 29, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di Kuala Lumpur pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di Kuala Lumpur antara 8 hingga 21 April 2018.

Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram dengan memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018. – MalaysiaGazette