KUALA LUMPUR – Perodua menyaksikan tempahan harian tertinggi sebanyak 25,100, pada 30 Jun 2022 iaitu hari terakhir pengecualian cukai bagi kenderaan.
“Ini tidak pernah berlaku sebelum ini dan ianya bukti potensi pertumbuhan industri automotif Malaysia dengan pemberian insentif yang betul.
”Tempahan kenderaan secara tergesa-gesa dilihat ketara terutama sekali apabila kerajaan melanjutkan tempoh pendaftaran kepada 31 Mac 2023 dan kami amat berterima kasih kepada rakyat Malaysia kerana memilih Perodua sebagai jenama pilihan mereka,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad.
Selain daripada inisiatif pengecualian cukai jualan yang berakhir pada 30 Jun 2022, faktor utama lain yang menyumbang kepada prestasi ini ialah pendaftaran kenderaan yang rendah pada Jun tahun lepas disebabkan penutupan kali kedua dalam mengurangkan kes jangkitan Covid-19.
Dalam pada itu, katanya, Perodua menjual 127,343 kenderaan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini dengan lonjakan 30% daripada 97,290 unit yang dijual dari Januari hingga Jun 2021 ekoran permintaan kukuh disebabkan oleh tarikh akhir pengecualian cukai jualan.
Daripada 127,343 unit yang didaftarkan, Myvi masih menjadi model paling laris dengan 38,039 unit didaftarkan diikuti Axia sebanyak 29,183 unit dan Bezza sebanyak 28,719 unit.
Walaupun begitu, Bezza semakin popular kerana ia merupakan model yang paling dicari pada masa ini.
Sebagai perbandingan, untuk bulan Jun 2021, Perodua hanya mencatatkan 1,009 unit, manakala pada Jun 2022, kami menjual 21,164 unit.
Pada perbandingan bulan ke bulan, prestasi jualan Perodua meningkat 10.7% daripada 18,901 unit yang didaftarkan pada Mei 2022.
Zainal berkata, peningkatan pendaftaran pada Jun 2022 juga disebabkan bekalan alat ganti yang lebih baik berbanding bulan Mei.
Walaubagaimanapun, isu-isu seperti tenaga kerja mahir dan kekurangan alat ganti masih wujud dan memohon agar para pelanggan dapat memahami keadaan ini.
”Kami ingin memohon maaf kerana para pelanggan kami terpaksa menunggu lama untuk menerima kenderaan mereka dan kami sedang melakukan sebaiknya untuk meningkatkan lagi pengeluaran kami,” ujar beliau.
Langkah ini termasuk bekerjasama dengan para pembekal dan dalam beberapa kes tertentu menyediakan kakitangan untuk bekerja di premis mereka bagi memastikan bekalan alat ganti tidak terganggu.
”Kami berharap isu tenaga kerja ini dapat diselesaikan dengan segera kerana impaknya kepada industri dan kepada negara secara amnya,” katanya yang masih mengekalkan sasaran jualan keseluruhan tahun ini sebanyak 247,800 unit. – MalaysiaGazette