Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim menyampaikan watikah jawatan kepada Senator Datuk Bashir Alias sebagai Pengerusi Perbadanan Labuan di Menara Seri Wilayah Perseketuan, Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 07 JULAI 2022.

PUTRAJAYA – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) hari ini mengumumkan pelantikan Senator Datuk Bashir Alias sebagai Pengerusi Perbadanan Labuan yang baharu untuk tempoh dua tahun, berkuatkuasa 1 Julai lalu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pelantikan beliau adalah bagi menggantikan Datuk Seri Amir Hussien yang telah berkhidmat untuk jawatan itu sehingga 30 Jun lepas.

Katanya, pelantikan Bashir ke jawatan itu adalah selaras dengan perenggan 5 (1) (a) Akta Perbadanan Labuan 2001 (Akta 609).

“Senator Datuk Bashir Alias mempunyai pengalaman yang luas di Wilayah Persekutuan Labuan berdasarkan perkhidmatan beliau dalam Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang dan Majlis Penasihat Perbadanan Labuan.

“Saya percaya dengan pengalaman luas serta daya kempimpinan Senator Bashir, beliau akan terus menerajui Perbadanan Labuan dalam menambaik ekosistem ekonomi Wilayah Persekutuan Labuan agar industri sedia ada terus berkembang dan kekal berdaya saing,” katanya pada sidang media di sini.

Dalam pada itu Shahidan merakamkan tahniah di atas pelantikan tersebut dan Bashir akan menjalankan amanah yang dipikul dengan sebaik mungkin.

Beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas sumbangan, jasa serta khidmat bakti Amir sepanjang tempoh beliau berkhidmat sebagai Pengerusi Perbadanan Labuan. – MalaysiaGazette