Seorang remaja disamun penjenayah bersenjatakan sebilah pisau di dalam sebuah lif di Apartment Desa Satu, Desa Aman Puri, Desa Jaya, pada Isnin lalu.

KUALA LUMPUR – Seorang remaja lelaki berdepan detik cemas apabila disamun penjenayah bersenjatakan sebilah pisau di dalam lif di Apartment Desa Satu, Desa Aman Puri Kepong baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, mangsa bagaimanapun hanya kehilangan telefon bimbit dalam kejadian pada 4 Julai lalu.

Tiada sebarang kecederaan dilaporkan namun video mengenainyaa berdurasi 45 saat tular di media sosial selepas itu.

“Kami telah menerima laporan polis daripada mangsa merupakan warga tempatan berusia 17 tahun berhubung kejadian terbabit.

“Kejadian berlaku pada 4 Julai sekitar pukul 12.40 tengah malam, suspek yang bersenjatakan sebilau pisau telah melakukan rompakan dengan memaksa mangsa menyerahkan barang berharga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, tular di media sosial kelihatan mangsa dihampiri seorang lelaki memakai topi keledar di dalam lif.

Video berkenaan memaparkan berlaku pergelutan mangsa dengan suspek yang memegang sebilah pisau.

Zainal Mohamed berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 392 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan rompakan.

Usaha untuk mengesan dan menangkap suspek masih diteruskan. Orang awam yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Ishak Abu Bakar di talian 03-61262222 atau 011-39032329. – MalaysiaGazette