Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Orang ramai diingatkan agar terus berwaspada ketika menziarahi ahli keluarga mereka pada Hari Raya Aidiladha hujung minggu ini bagi mengelakkan peningkatan kes harian Covid-19.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pada Hari Raya Aidilfitri 12 Mei lalu, kes harian Covid-19 melonjak kepada 3,410 yang antaranya berpunca daripada peningkatan kadar pergerakan dalam masyarakat dan aktiviti perkumpulan ramai.

“Jadi menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha ini, teruskan berwaspada apabila pergi menziarah ahli keluarga.

“Pemakaian pelitup muka diperlukan apabila berada di kawasan tertutup dan sesak selain mengamalkan TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform, Seek – Uji, Lapor, Asing, Maklum Dapatkan Rawatan) serta lakukan ujian kendiri sebelum pulang ke kampung,” katanya menerusi ciapan Twitter hari ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Sebelum ini, Khairy memberi amaran kepada orang ramai agar tidak mengambil ringan terhadap jangkitan akibat wabak Covid-19 memandangkan dua subvarian Omicron BA.4 dan BA.5 kini merebak dengan pantas. – MalaysiaGazette