Golongan orang kurang upaya (OKU) yang menunggu giliran untuk di temu duga ketika hadir ke Mini Karnival Penjana Kerjaya Kementerian Sumber Manusia untuk OKU di Dewan Kenangan, Wisma Perkeso, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 24 MAC 2021.

OKU, itulah akronim umum yang digunakan bagi golongan istimewa yang berada di Malaysia. Berdasarkan statistik pihak kerajaan, terdapat lebih kurang 2,134 orang OKU baru berdaftar dari tahun 2016 sehingga 2019 di seluruh Malaysia. Jumlah ini jika dibandingkan dengan populasi keseluruhan rakyat Malaysia boleh dikatakan kecil dan minoriti.

Namun, dengan keterbatasan yang ada dari sudut fizikal, mental dan keupayaan lain-lain kumpulan OKU perlu diberi perhatian yang serius. Hal ini kerana kebajikan mereka tidak boleh diremehkan kerana kemampuan untuk berdikari secara sendiri telah kurang atau hilang sepenuhnya. Maka, untuk memastikan golongan OKU ini dibela, perasaan empati perlu ada bukan sekadar rasa simpati.

Keluarga OKU Malaysia

Umum mengetahui bahawa pihak kerajaan dibawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri telah memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia. Ini adalah konsep yang amat baik dan perlu diteladani oleh semua pihak. Begitu juga halnya nasib OKU juga tidak boleh dilupakan di dalam membantu golongan yang berhadapan dengan pelbagai rintangan dan halangan. Hati berdukacita apabila melihat terdapat golongan OKU yang terpaksa meraih simpati meminta sedekah dan belas ihsan masyarakat.

Oleh itu, gantikanlah simpati itu dengan sikap empati terhadap golongan ini seterusnya memberikan (opportunity) ruang dan peluang kepada mereka. Keluarga OKU Malaysia perlu diberikan tempat untuk menjana ekonomi memperbaiki diri merentangi cabaran masa kini. Ruang dan peluang yang lebih besar perlu diberikan untukgolongan OKU terokai terutamanya bagi golongan OKU yang profesional.

Tidak boleh dinafikan terhadap sekumpulan OKU profesional yang sedang berkhidmat dan memberikan sepenuh jiwa dan raganya untuk membantu dalam apa jua sektor profesional sama ada di sektor kerajaan mahupun korporat. Dasar OKU yang sedia ada nampaknya ampuh untuk membela Keluarga OKU Malaysia.

Namun dari sudut perlaksanaannya boleh dinilai dan ditambah baik. Umpamanya, penilaian prestasi dan kerja seseorang OKU tidak sepatutnya sama kerana keterbatasan yang mereka alami. Di sinilah perasaan empati diperlukan.

Memperkasa OKU

Pada 3 Disember 2021, semasa sambutan Hari OKU Peringkat Kebangsaan, Perdana Menteri yang prihatin telah meluncurkan aspirasi “Kepimpinan dan Penyertaan OKU Menuju Endemik COVID-19”. Slogan dan motto ini tidak dinafikan amat sesuai dan serasi dengan penumpuan untuk memperkasakan OKU.

Bersangkutan dengan ini juga kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM 30 juta untuk menyediakan fasilit dan bangunan-bangunan yang mesra OKU. Selain itu, RMK-12 juga telah menegaskan peri pentingnya golongan OKU diperkasakan.

Namun, hati menjadi sayu lagi gundah gulana apabila perlaksanaan di peringkat bawahan masih berada dalam keadaan yang kurang memuaskan. Masih ada tempat-tempat awam, bangunan-bangunan kerajaan dan fasiliti-fasiliti milik swasta yang tidak mesra OKU. Hal ini mungkin kerana kurangnya perasaan empati berbanding simpati. Oleh itu, demi menyahut seruan kerajaan, pelbagai pihak telah tampil untuk memperkasakan golongan OKU yang berada di Malaysia.

Pihak UiTM umpamanya telah memperkenalkan Unit Perkhidmatan OKU (UPO) yang sangat efektif dan efisen untuk membantu golongan OKU. Malahan, skop bantuan juga meliputi pihak staf dan pelajar yang membuktikan komitmen tinggi oleh pihak UPO, Pengarah dan Naib Canselor untuk membantu warga UiTM. Ini adalah satu perasaan empati yang tinggi nilainya disisi masyarakat dan Tuhan Alam Semesta. Semoga UiTM dirahmati dan dimuliakan oleh Sang Pencipta Alam atas sikap murni ini.

Akhirnya, golongan OKU adalah satu kumpulan masyarakat yang perlu diberikan ruang dan peluang supaya dapat berdaya tahan dan kental melawan arus yang mendatang. Dengan usaha semua pihak, maka usaha untuk meningkatkan martabat golongan OKU daripada menjadi penerima kepada pemberi boleh dicapai satu hari nanti.

Kamarul Aini Hassan Baseri
Bahagian Pengambilan Pelajar, UiTM Shah Alam &

Dr Mohd Ramlan Mohd Arshad
Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Negeri Sembilan
Felo Bersekutu, Institute for Indonesia, Thailan and Singapore (UUM-ITS)