KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keprihatinann Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan yang mahu memansuhkan hukuman mati mandatori.
Presidennya, Tan Sri Musa Hassan berkata, selaku bekas Ketua Polis Negara yang pernah menguatkuasakan undang-undang terhadap jenayah berat, hukuman mati mandatori perlu dikekalkan untuk jenayah berat yang membabitkan bunuh.
Katanya, MCCC dan Organisasi Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO) berpendapat keputusan Jemaah Menteri merancang menghapuskan hukuman mati mandatori dan mengekalkan hukuman mati adalah sebagai suatu langkah yang positif.
“Tetapi dalam pada masa yang sama kami ingin menggesa pihak kerajaan untuk membuat semakan semula secara menyeluruh berkenaan hukuman mati mandatori itu yang dicadangkan untuk dimansuhkan sepenuhnya.
“Sekiranya hukuman mati mandatori dihapuskan sepenuhnya, dikhuatiri peratusan kes jenayah akan terus meningkat dengan lebih tinggi.
“Sebagai contoh seorang dibunuh tanpa berperikemanusiaan dengan sangat sadis dan kejam tetapi suspek bunuh terlepas tanpa dihukum mati.
“Kita kena ambil serius keadilan untuk mangsa yang tidak berdosa yang mati dibunuh dengan kejam oleh suspek serta ahli keluarga yang menderita secara mental dan trauma,” katanya pada sidang media di Sungai Besi, di sini, hari ini.
Menurut Musa, MCCC boleh menerima sekiranya hukuman mati mandatori digantikan dengan hukuman alternatif lain membabitkan jenis jenayah khususnya keldai dadah.
Tambah beliau, hukuman mati mandatori perlu dilaksanakan terhadap jenayah sindiket dadah berat iaitu kartel dadah yang membunuh ramai pemuda menerusi kegiatan pengedaran bahan terlarang itu.
Katanya, sistem perundangan sedia ada yang bermula daripada siasatan sehingga dijatuhkan hukuman di mahkamah adalah memadai.
“Jika seseorang suspek kes jenayah bunuh dijatuhkan hukuman mati, ia tidak dilaksanakan serta merta seperti diperintahkan oleh mahkamah kerana dia masih mempunyai ruang untuk merayu keputusan itu di mahkamah rayuan dan mahkamah persekutuan.
“Maka adalah tidak adil mendakwa hukuman mati mandatori tidak memberikan keadilan sedangkan tertuduh yang disabitkan kesalahannya masih melalui proses perundangan yang adil dan saksama,” ujar beliau.
Pada Jun lalu, jemaah Menteri telah memutuskan untuk menghapuskan hukuman mati mandatori, tetapi mengekalkan hukuman mati.
Sementara itu, Musa Hassan memberitahu, pihaknya telah memohon untuk bertemu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berhubung perkara tersebut.
Dalam pada itu peguam Protect Malaysia, Christina Teng turut mendesak kerajaan agar bersikap adil dan tidak membiarkan pembunuh kejam terlepas daripada hukuman gantung.
“Kita sebelum melaksanakan pemansuhan hukuman mati mandatori ini adalah wajar kerajaan mendidik rakyat agar mereka memahami terlebih dahulu mengenainya agar boleh mendapat maklumbalas yang adil untuk menyediakan satu proses perundangan dan keadilan yang baik dan berkesan untuk rakyat.
“Kita percaya hukuman mati mandatori harus dikekalkan untuk pembunuhan kejam dan tidak berperikemanusiaan seperti, menyebabkan kecederaan dan kematian kepada Raja Melayu dan tindakan keganasan yang membawa kepada kematian serta penculikan bersenjata yang membawa kepada kematian.
“Kamu kena bertanggungjawab sepenuhnya untuk jenayah berat dan kejam yang kamu lakukan, adalah tidak adil apabila kamu rogol dan bunuh dan terlepas sekadar hukuman penjara lima hingga enam tahun sahaja,” ujarnya. – MalaysiaGazette