Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bersama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun bergambar kenangan dengan ahli GEGAR WANITA yang hadir pada Majlis Pelancaran Generational Eng Game Advocacy Road (GEGAR-WANITA) di Universiti Putra Malaysia, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 08 JULAI 2022.

SERDANG- Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin akan membawa Memorandum Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Tembakau dan Merokok dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada minggu hadapan.

Memorandum berkenaan bertujuan untuk mendapatkan kelulusan daripada Kabinet supaya RUU tersebut dapat dibentangkan dalam persidangan Dewan Rakyat pada bulan ini.

Menurut Khairy, beliau dan kementerian-kementerian lain akan menggunakan mesyuarat tersebut sebagai ruang dan peluang untuk bertukar-tukar pandangan dan memberi penjelasan tentang keperluan RUU berkenaan dibentangkan sekaligus mewartakannya sebagai sebuah akta kelak.

“Untuk langkah pertama, saya mesti meyakinkan Jemaah Menteri, kita sudah terima semua ulasan daripada kementerian-kementerian, jadi saya sedang menyediakan jawapan kepada beberapa ulasan dan selepas itu sudah dipersetujui barulah kita akan bawa ke Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Dalam mesyuarat ini saya akan cuba meyakinkan kementerian-kementerian yang bukan tidak setuju, tetapi mungkin ada beberapa perkara yang nak dijelaskan,” katanya ketika sidang media, selepas melancarkan Program Generational Endgame Advocacy Roadshow- Wanita (GEGAR WANITA) yang berlangsung di Auditorium Rashdan Baba.

Turut hadir Menteri Pembangunan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Harun dan isteri Khairy selaku Pengerusi Yayasan Budi Penyayang, Nori Abdullah.

Program tersebut, diadakan bagi menggerakkan badan-badan bukan kerajaan dan pemimpin wanita yang menyokong usaha membanteras gejala merokok dengan pertubuhan lain.

Mengulas lanjut Khairy berkata, sekiranya RUU berkenaan diluluskan Malaysia akan menjadi negara yang pertama di dunia yang meluluskan meluluskan undang-undang generasi penamat (endgame) iaitu larangan menjual rokok kepada individu yang lahir selepas tahun 2005.

Meskipun sukar dilaksanakan namun beliau yakin ia tidak mustahil sekiranya mendapat kerjasama daripada semua pihak.

Tambah beliau, RUU tersebut akan memberi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kuasa mengawal industri rokok elektronik yang semakin berleluasa dan tidak terkawal sejak beberapa tahun ini apabila pasarannya dilihat terbuka sehingga kepada golongan remaja dan kanak-kanak.

“Dengan RUU ini kita akan dapat kawal sekia buat kali pertama industri vape yang selama ini berleluasa, dah out of control sudah beberapa tahun kita membenarkan industri ini memasarkan produk mereka kepada remaja dan kanak-kanak.

“Kita akan dapat kawal dengan ketat semua penjualan vape dan rokok elektronik, kawal selia apa yang mereka letak dalam vape sedangkan kita tidak tahu berapa banyak bahan kimia yang diletakkan dalam cecair yang dijual,” tambahnya.

Sehubungan itu, Menteri Kesihatan berkenaan berharap Jemaah Menteri dan Ahli-Ahli Parlimen akan menyokong hasratnya membentangkan RUU tersebut pada bulan ini agar ia dapat dilaksanakan dengan segera demi memastikan sasaran KKM untuk mengurangkan 5 peratus perokok menjelang 2040 tercapai.- MalaysiaGazette