SERDANG – Kementerian Pembangunan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyokong sepenuhnya memorandum Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Tembakau dan Merokok yang akan dibawa oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Dalam masa yang sama, menterinya Datuk Seri Rina Harun memberi jaminan akan turut menyebarkan kepada Jemaah Menteri yang lain tentang kepentingan RUU berkenaan diluluskan dengan segera.
“Khairy jangan risau saya akan menyokong, saya juga akan sampaikan juga kepada rakan Kabinet lain agar RUU dapat diluluskan untuk dibawa ke Parlimen,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Pelancaran Program Generational Endgame Advocacy Roadshow- Wanita (GEGAR WANITA) yang berlangsung di Auditorium Rashdan Baba.
Jelasnya, RUU ini perlu diluluskan segera bagi memastikan rakyat mengamalkan gaya hidup sihat dengan menjauhi amalan merokok.
Mengaku akta ini akan berhadapan dengan pelbagai ulasan dan hujah namun beliau berkata, kelulusan menerusi Dewan Rakyat akan memberi peluang Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyebarkan kesedaran tentang bahaya merokok.
“Kalau kita nak keluarga Malaysia sihat ini perlu dilaksanakan. Bukan mudah tapi saya percaya dengan sokongan Keluarga Malaysia akta ini dapat diluluskan dengan sokongan penuh ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat,” tambahnya.
Sementara itu, beliau menyeru golongan wanita untuk turut sama-sama menyemarakkan lagi program-program kesedaran tentang amalan membanteras merokok dalam negara.
“Peranan wanita dalam hal ini penting. Sebab saya yakin wanita dan kaum ibu mempunyai peranan prnting dalam institusi keluarga, wanita mahu anak-anak membesar dan menjadi dewasa secara sihat. Menjadi tanggungjawab ibu bapa memastikan anak-anak tidak terjebak dengan amalan tidak sihat,” kata Rina lagi. -MalaysiaGazette
Memorandum RUU Kawalan Tembakau dibawa pada Jemaah Menteri minggu depan