KUANTAN – Jalinan kerjasama Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Istanbul Medipol University (IMU) dan Ankara Medipol University ( AMU) bakal memperkukuh bidang akademik.
Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin berkata, kerjasama penyelidikan itu bakal membuka ruang ke arah peningkatan hubungan institusi pendidikan tinggi kedua-dua negara.
Jelasnya, majlis bertukar dokumen memorandum persefahaman (MoU) dengan Rektor Ankara Medipol University ( AMU) , Prof Ahmet Zeki Sengil dengan disaksikan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam majlis yang berlangsung di Ankara, Turkiye.
“Kerjasama ini memfokuskan program mobiliti dan pertukaran pelajar, pelantikan profesor pelawat, penyelidikan, pengajaran dan kerjasama yang turut melibatkan kempen kesedaran berkaitan literasi media dan informasi UNESCO bersama komuniti di Ankara untuk dimanfaatkan semua pihak.
“Pembangunan modal insan menjadi keutamaan dan kerjasama ini juga akan memfokuskan penerbitan bersama, penganjuran seminar, program pertukaran staf dan pelajar,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambahnya program membabitkan kerjasama dual ijazah serta melibatkan program mempromosikan bidang latihan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Dalam usaha ke arah kegemilangan universiti, UMP turut memfokuskan kecemerlangan terhadap pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan teknologi aras tinggi yang dipacu bersama komuniti,” katanya.
Selain itu, kerjasama melibatkan komuniti ini seiring dengan hasrat Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hasanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah, Pro Canselor UMP selaku Penaung Diraja Sukarelawan UMP dalam menyuburkan agenda kesurelawanan di peringkat nasional dan antarabangsa.
Dr Yuserrie berkata, UMP turut memfokuskan aspirasi bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja berketerampilan malah berdaya saing dan sentiasa ke hadapan bukan sahaja dalam negara bahkan juga di peringkat antarabangsa. – MalaysiaGazette