GEORGE TOWN – Pelaksanaan 23 projek kerja air sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual (SWSI) sejak Jumaat lalu disifatkan sebagai langkah penting memperkukuhkan infrastruktur bekalan air Pulau Pinang pada masa depan.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, lima manfaat dikenal pasti menerusi kejayaan pelaksanaan projek tersebut termasuk peningkatan jumlah harian bekalan air terawat kepada kira-kira 465,000 pengguna di negeri ini.
“Meningkatkan keupayaan pam dan sistem pengagihan air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua yang merupakan loji terbesar dan terpenting buat Pulau Pinang.
“Manfaat lain yang dicapai ialah pengurangan masalah bekalan air tidak stabil di kawasan hujung saluran (End-of-Line, EoL) dan kawasan tanah tinggi, mempercepatkan proses pemulihan selepas gangguan.
“Selain itu, ia juga berpotensi mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) melalui pembaikan segera beberapa kebocoran utama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas berhubung SWSI, Kon Yeow berkata, kawasan terakhir yang menerima pemulihan sepenuhnya ialah 400 akaun di kawasan Gertak Sanggul dalam daerah Barat Daya pukul 6.45 petang tadi.
“Proses melepaskan angin terperangkap dalam saluran paip mengambil masa lebih lama daripada jangkaan asal. Sehubungan itu, saya ingin merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Pulau Pinang yang memahami dan bersabar sepanjang tempoh pelaksanaan SWSI.
“Terima kasih juga kepada warga Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen, Ahli Majlis, operator air serta agensi-agensi lain yang membantu menjayakan usaha ini,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan seramai 341,708 pengguna air di Pulau Pinang terjejas susulan pelaksanaan SWSI berkenaan yang bermula jam 10 malam, Jumaat lalu.
Ia susulan henti tugas separa di LRA Sungai Dua bagi pelaksanaan 23 projek kerja air berjadual di seluruh negeri. – MalaysiaGazette