Tangkap layar wanita yang mengaku Islam dan hafal al-Quran menanggalkan pakaian satu demi satu.

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah melakukan siasatan awal terhadap wanita yang membuka pakaian dan tudung di hadapan penonton selepas memperkenalkan diri sebagai seorang penganut Islam dan  menghafal ayat al-Quran.

Menurut Pengarah JAWI, Datuk Mohd. Ajib Ismail, pihaknya mengesan perbuatan wanita tersebut dilakukan di sebuah kelab di Taman Tun Dr. Ismail baru-baru ini.

“JAWI sama sekali tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan yang bertujuan menghina dan mencemarkan imej serta kesucian Islam khususnya yang berlaku di Wilayah Persekutuan lebih-lebih lagi menjelang ketibaan Hari Raya Aidiladha yang mulia,” katanya.

Sementara itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan yang menghina kesucian agama Islam.

“Isu video tular wanita yang didakwa mempersenda dan menghina kesucian agama Islam sudah dalam tindakan pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

“Saya telah meminta pihak Jawi untuk mengambil tindakan berpandukan peruntukan undang-undang sedia ada dengan kadar segera,” katanya.

Siasatan dibuat di awah Akta 599 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 Seksyen 7 iaitu menghina atau menyebabkan dipandang hina terhadap agama Islam

Jika sabit kesalahan wanita itu boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Perbuatan wanita berkenaan menjadi tular di media sosial hari ini dan telah dikongsi oleh netizen yang mempersoalkan motif wanita berkenaan berbuat begitu.

Dalam video berdurasi selama 54 saat itu, wanita terbabit muncul atas pentas dengan memakai baju kurung lengkap dan bertudung.

Bagaimanapun selepas memperkenalkan diri sebagai seorang muslim dan menghafal al-Quran dia kemudiannya tanpa segan silu menanggalkan satu persatu baju kurung dan tudung hingga tinggal baju singlet serta skirt di hadapan penonton.

“Hello dan assalamualaikum everyone. Nama saya Siti ****. Saya berasal daripada Kuala Kangsar, Perak. I’m Malay and muslim. Dan saya telah menghafal 15 juzuk al-Quran. But one second…,” katanya sebelum membuka pakaian.

Perbuatan wanita itu kemudiannya mendapat sorakan daripada penonton. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Wanita buka baju, tudung selepas mengaku hafal al-Quran