Sebahagian peserta yang menyertai Himpunan Aman Kenaikan Harga Barang memegang plakad bantahan di hadapan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 09 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan hari ini mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memecat menteri yang gagal menangani krisis kenaikan harga barang.

Ketuanya yang juga Ahli Parlimen Batu, P. Prapakaran berkata, rakyat kecewa dan pelik dengan sikap kerajaan khususnya menteri yang bertanggungjawab yang didakwanya gagal mencari penyelesaian dalam soal kebajikan rakyat.

Rakyat terutama anak-anak muda didakwanya sudah muak dan marah kerana menjadi mangsa situasi dan tiada sebarang solusi dicapai kerajaan yang memaksa mereka turun memprotes di  jalan raya.

“Jadi, bagi mengelak rakyat dan anak muda turun protes di atas jalan raya setiap masa, saya akan membawa masalah ini ke Parlimen nanti untuk mencari penyelesaian holistik,” katanya selepas hadir ke Himpunan Aman Membantah Kenaikan Harga Barang anjuran AMK di hadapan Sogo petang tadi.

Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran bercakap kepada media semasa menyertai Himpunan Aman Kenaikan Harga Barang di hadapan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 09 JULAI 2022.

Sekitar 10 individu dari AMK dan seorang wakil Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) turut hadir menyertai himpunan aman itu sekitar pukul 3.30 hinggga 3.50 petang sebelum bersurai dari lokasi tersebut.

Sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi turut meninjau di kawasan berkenaan bagi memastikan keadaan terkawal.

Dalam perkembangan berkaitan, Prabakaran turut menyatakan kekecewaan dengan sikap kerajaan yang menubuhkan terlalu banyak jawatankuasa membabitkan kenaikan harga makanan sejak akhir-akhir ini.

Katanya, walaupun jawatankuasa demi jawatankuasa dibentuk kerajaan malangnya tiada sebarang solusi atau keberkesanan tetap dicapai setakat ini.

“Satu lagi perkara pelik saya nampak dekat kerajaan hari ini  banyak sangat jawatankuasa yang macam-macam ditubuhkan oleh kerajaan antaranya jawatankuasa mengkaji kos sara hidup, semak harga ayam, jawatankuasa subsidi dan banyak lagi.

“Saya cuma nak tanya satu soalan kepada kerajaan hari ini, kalau semua menteri menganggap sekadar menubuhkan jawatankuasa kajian sahaja sebagai satu solusi dengan kononnya nak buat kajian demi kajian, jadi apa tugas dan fungsi sebenar menteri dan timbalan menteri (KPDNHEP) sebenarnya?” soalnya.

Beliau sehubungan itu mendesak Ismail Sabri memecat menteri dan timbalan menteri yang gagal itu atau merombak semula Kabinet kerana berpendapat ada lagi ramai pemimpin lain  yang lebih berkredibiliti mentadbir negara menangani masalah kenaikan harga.

“Satu lagi perkara yang telah mengecewakan rakyat dan saya adalah ketika kemelut politik dan krisis harga makanan melanda negara ada satu parti politik yang khusyuk dan cenderung bincang pasal jawatan timbalan perdana menteri.

“Ini sangat memalukan dan mengecewakan semua pihak dan saya menyeru kerajaan tolong serius dalam soal harga barang yang sedang mengakibatkan rakyat bertambah derita saban hari,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast