10 GRO wanita warga asing antara dicekup dalam serbuan Op Noda di sebuah pusat hiburan di Kepong semalam.- Gambar Ihsan IPD Sentul

KUALA LUMPUR – Sebuah pusat hiburan yang berani beroperasi semula walaupun pernah diambil tindakan sebanyak lima kali diserbu lagi semalam.

Dalam serbuan itu, seramai 10 wanita warga asing yang menjadi pelayan ditahan, kata Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai.

Menurutnya, semalam pasukannya telah mengadakan serbuan Op Noda di sebuah premis di Jalan Metro Perdana Barat, Taman Usahawan, Kepong.

“Hasil pemeriksaan di dalam pusat hiburan itu polis menangkap seramai 13 orang termasuk seorang lelaki warga tempatan yang merupakan penjaga premis dan dua lelaki warga asing yang menyerupai wanita.

Antara individu yang ditahan dalam serbuan Op Noda di pust hiburan di Kepong semalam.Gambar ihsan IPD Sentul

“Dalam serbuan sama, pemeriksaan lanjut polis mendapati daripada 13 orang yang ditangkap itu, 10 orang adalah wanita warga asing yang dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan di pusat hiburan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Eng Lai, kesemua tangkapan adalah berusia lingkungan di antara 23 hingga 45 tahun.

Siasatan polis mendapati premis berkenaan sebenarnya pernah diserbu sebanyak lima kali sepanjang tempoh Januari hingga Julai tahun ini.

“Modus operandi kegiatan ini berselindung di sebalik pusat hiburan yang telah beroperasi sejak tujuh bulan yang lepas.

“Pemeriksaan lanjut telah dibuat berjaya membawa kepada rampasan pelbagai peralatan sistem audio dan wang tunai berjumlah RM159 di premis itu,” ujarnya.

Antara individu yang ditahan dalam serbuan Op Noda di pust hiburan di Kepong semalam.- Gambar ihsan IPD Sentul

Kesemua suspek kini telah ditahan untuk siasatan lanjut dan semakan rekod mendapati salah seorang suspek warga tempatan mempunyai lima rekod lampau pelbagai kesalahan manakala 12 lagi suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Menuru Eng Lai, polis juga telah membawa kesemua suspek ke mahkamah dan memperoleh reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk meneruskan siasatan lebih lanjut.

Mahkamah pagi tadi juga membenarkan penjaga premis hiburan itu direman selama sehari sahaja manakala 12 orang lagi termasuk 10 wanita GRO warga asing direman selama empat hari sehingga 12 Julai ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk membantu siasatan lanjut.

Kesemua wanita asing dipercayai masuk ke dalam negara ini menggunakan pas lawatan sosial dan memiliki dokumen perjalanan yang masih sah.

Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1992 kerana kesalahan tidak memiliki lesen hiburan, Seksyen 55 B Akta Imigresen kerana menggaji pekerja asing tanpa permit yang sah dan Seksyen 39 B Akta Imigresen kerana telah menyalahgunakan permit pekerjaan. – MalaysiaGazette