Wanita yang didakwa menghina Islam dengan membuka tudung dan baju kurungnya dalam sebuah persembahan komedi di sebuah kelab di Taman TTDI akan didakwa bersama teman lelakinya di mahkamah esok.

KUALA LUMPUR – Tular di media sosial seorang wanita  membuka pakaian dan tudung di hadapan penonton selepas memperkenalkan diri sebagai seorang penganut Islam dan kemudiannya menghafal ayat al-Quran.

Kejadian didakwa berlaku di sebuah kelab di ibu negara yang menampilkan persembahan komedi.

Dalam video berdurasi selama 54 saat itu, wanita terbabit muncul atas pentas dengan memakai baju kurung lengkap dan bertudung.

Bagaimanapun selepas memperkenalkan diri sebagai seorang muslim dan menghafal al-Quran dia kemudiannya menanggalkan satu persatu baju kurung dan tudung dan diganti dengan baju singlet serta skirt.

“Hello dan assalamualaikum everyone. Nama saya Siti ****. Saya berasal daripada Kuala Kangsar, Perak. I’m Malay and muslim. Dan saya telah menghafal 15 juzuk al-Quran. But one second…,” katanya sebelum membuka pakaian.

Perbuatan wanita itu mendapat sorakan daripada penonton. Klip video berkenaan tular di aplikasi TikTok.

Sementara itu, pendakwa bebas, Firdaus Wong Wai Hung yang turut berkongsi kejadian itu berkata, perbuatan wanita tersebut tidak menghina Islam sebaliknya telah menghina dirinya sendiri.

“Secara jujur jika benar wanita itu adalah Melayu dan muslim serta telah menghafal 15 juzuk al-Quran sebagaimana didakwa dalam video, dia sebenarnya menghina dirinya dan bukannya menghina Islam.

“Setelah Islam memuliakan dirinya dengan berpakaian sopan dan menutup aurat dia menghina dirinya dengan menanggalkannya di khalayak ramai.

“Jikalau benar dia claim telah menghafal 15 juzuk al-Quran dan melakukan perbuatan seperti itu, dia menghina dirinya kerana Allah memuliakan orang yang menghafal al-Quran, memahami dan mengamalkannya tetapi mungkin dia hanya hafal tanpa pemahaman dan pengamalan,” kata Firdaus.

Tambahnya,  Islam datang memuliakan manusia.- MalaysiaGazette