Para penunjuk perasaan berswafoto selepas dapat memasuki istana Presiden Sri Lanka. Foto Getty Images

COLOMBO – Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa mengumumkan akan melepaskan jawtaan selepas penunjuk perasaan menyerbu kediaman rasminya dan membakar rumah perdana menteri.

Namun, beliau dan perdana menteri tidak berada dalam kediaman masing-masing.

Beratus-ratus ribu rakyat berada di Colombo, menggesa Rajapaksa meletak jawatan selepas berbulan-bulan protes berhubung salah urus ekonomi diadakan.

Rajapaksa akan berundur pada 13 Julai.

Manakala perdana menteri Wickremesinghe juga telah bersetuju untuk meletakkan jawatan.

Speaker Parlimen berkata, presiden memutuskan untuk berundur “untuk memastikan penyerahan kuasa secara aman” dan menyeru orang ramai untuk “menghormati undang-undang”.

Pengumuman itu mencetuskan letusan bunga api perayaan di bandar itu.

Seorang penunjuk perasaan, Fiona Sirmana, yang berdemonstrasi di rumah presiden, berkata, sudah tiba masanya “untuk menyingkirkan presiden dan perdana menteri dan mempunyai era baharu untuk Sri Lanka”.

“Saya berasa sangat, sangat sedih kerana mereka tidak melepaskan jawatan lebih awal kerana sekiranya mereka membuat keputusan awal, tidak akan ada sebarang kemusnahan,” katanya kepada Reuters.

Sri Lanka sedang mengalami inflasi yang tinggi dan sedang bergelut untuk mengimport makanan, bahan api dan ubat-ubatan di tengah-tengah krisis ekonomi terburuk negara itu dalam tempoh 70 tahun.

Negara ini telah kehabisan mata wang asing dan terpaksa mengenakan larangan ke atas penjualan petrol dan diesel untuk kenderaan persendirian, menyebabkan orang ramai beratur selama berhari-hari untuk mendapatkan minyak.

Penunjuk perasaan memasuki ke dalam rumah presiden sambil melaungkan slogan dan mengibarkan bendera negara dan ia merupakan peristiwa luar biasa – menjadi kemuncak selama beberapa bulan protes aman di Sri Lanka.

Rakaman dalam talian menunjukkan orang ramai berkeliaran di dalam rumah dan berenang di kolam presiden, manakala yang lain mengosongkan peti laci, mengambil barang-barang presiden dan menggunakan bilik mandinya yang mewah.

Seorang penunjuk perasaan berkata, perbezaan antara kemewahan istana dan kesusahan yang ditanggung oleh 22 juta rakyat negara ini tidak hilang kepada penunjuk perasaan.

“Apabila seluruh negara berada di bawah tekanan seperti itu, orang ramai datang ke sini untuk melepaskan tekanan itu. Apabila anda melihat kemewahan di rumah ini, membuatkan mereka merasai tidak ada gunanya bekerja untuk negara,” kata Chanuka Jayasuriya. – BBC