Mohd Azmi Abdul Hamid.

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang wanita menanggalkan pakaiannya serta tudung di hadapan penonton seperti yang tular di media sosial telah melanggar enakmen agama Islam negeri sedia ada.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, wanita terbabit telah dan dengan sengaja mencemar imej agama Islam dan tindakan tegas perlu diambil terhadapnya.

Katanya, masyarakat perlu memahami kelakuan menghina agama tidak boleh dikompromi dan perlu dikenakan tindakan keras sebagai pengajaran.

“Kami merasa sangat kesal jika umat Islam marah kepada orang bukan Islam menghina Islam, apatah lagi oleh orang Islam sendiri, kerana fitnahnya terlalu besar.

“Kami juga kesal dan menyatakan bantahan keras terhadap wanita yang secara terang terangan telah menghina Islam dalam suatu majlis yang ditonton oleh ramai orang,” katanya menerusi kenyataan.

Mohd Azmi berkata, tingkah laku biadab itu tidak wajar diteladani dan pihak yang berkenaan perlu memainkan peranan dengan bertindak segera agar perkara sama tidak berulang kembali.

Semalam, tular di media sosial apabila seorang wanita membuka pakaian dan tudung di hadapan penonton selepas memperkenalkan diri sebagai seorang penganut Islam dan kemudiannya menghafal ayat al-Quran.

Kejadian didakwa berlaku di sebuah kelab di ibu negara yang menampilkan persembahan komedi.

Dalam video berdurasi 54 saat itu, wanita terbabit muncul atas pentas dengan memakai baju kurung lengkap dan bertudung.

Bagaimanapun selepas memperkenalkan diri sebagai seorang Muslim dan menghafal al-Quran dia kemudiannya menanggalkan satu persatu baju kurung dan tudung dan diganti dengan baju singlet serta skirt. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast