Jenazah kedua-dua anggota tentera itu dibawa ke Kem Sungai Ara, Pulau Pinang untuk urusan solat jenazah.

GERIK – Kematian dua anggota tentera dari Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) akibat dihempap pokok ketika menjalani operasi di kawasan pedalaman Hutan Belum, Tasik Banding di sini, semalam diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden menimpa dua anggota tentera ketika menjalankan tugas operasi di kawasan pedalaman Hutan Belum itu kira-kira 11.50 pagi hari kejadian.

murder case debt loan Bidor oil palm estate Perak Police Chief, Datuk Mior Faridalathrash Wahid students die of Covid-19 vaccine SMK Tasek Damai
Mior Faridalathrash Wahid.

Jelas beliau, Sarjan Mohd Kamal Ramli, 41, dan Koperal Muhammad Zaki Johari, 31, itu dari Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Sungai Ara, Pulau Pinang.

“Kedua-dua mangsa sudah dikeluarkan dari kawasan operasi tentera menggunakan helikopter Angkatan Tentera Malaysia ke Batalion Ke-2 Kem Sungai Ara sebelum dibawa ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk proses bedah siasat.

“Kes kematian dua anggota berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Jenazah kedua-dua mangsa dikebumikan di kampung masing-masing di Kedah serta Perlis.

Tambah Mior Faridalathrash, Polis Perak turut merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga kedua-dua mangsa di atas kejadian terbabit.

ARTIKEL BERKAITAN

Dua anggota tentera maut ditimpa pokok

MalaysiaGazette semalam melaporkan dua anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) daripada Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) disahkan maut selepas dihempap pokok ketika menjalani operasi kawalan di kawasan Tasik Banding, Gerik.

Mayat kedua-dua mangsa selesai dibedah siasat di Hospital Pulau Pinang dibawa ke kem Sungai Ara bagi urusan solat jenazah.

Jenazah Mohd Kamal akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Taman Kelisa, Sungai Petani, Kedah manakala Muhammad Zaki di Chuping, Perlis. – MalaysiaGazette