GEORGE TOWN – Dua anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) daripada Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) disahkan maut selepas dihempap pokok ketika menjalani operasi kawalan di Hutan Belum, Tasik Banding, Gerik, Perak hari ini.

Mangsa yang meninggal dunia ialah Sarjan Mohd Kamal Ramli, 41, dan Koperal Muhammad Zaki Johari, 31 tahun.

Sel Perhubungan Raya Tentera Darat dalam satu kenyataan berkata, pangkalan sementara di kawasan operasi pasukan tersebut dilanda ribut kencang pada jam 2.30 pagi tadi.

Jelasnya, 20 minit kemudian selepas suasana tenang pemeriksaan keselamatan telah dilaksanakan sebelum mendapati kedua-dua anggota telah meninggal dunia akibat ditimpa pokok.

“TDM menzahirkan ucapan takziah buat isteri Allahyarham Sarjan Mohd Kamal iaitu Koperal Siti Nafishah Mohd Nasir dan isteri Allahyarham Koperal Muhammad Zaki iaitu Nurummi Amirah Chepa serta seluruh ahli keluarga Allahyarham berdua.

“TDM akan menghulurkan bantuan sewajarnya dalam memastikan kebajikan keluarga mereka terjaga,” katanya hari ini.

Tambah kenyataan itu, jenazah Allahyarham Sarjan Mohd Kamal akan dikebumikan di Sungai Petani, Kedah manakala jenazah Allahyarham Koperal Muhammad Zaki pula dikebumikan di Chuping, Perlis.

Untuk rekod, 2 RAMD berpangkalan di Kem Sungai Ara, di sini.

Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette di Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang mendapati proses bedah siasat ke atas kedua-dua mangsa telah selesai dijalankan.

Suasana di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang.

Bagaimanapun, tiada ahli keluarga dilihat ketika ini di perkarangan jabatan forensik itu.

Media tempatan pada Jun 2018 melaporkan dua anggota tentera maut, manakala dua lagi cedera selepas dihempap pokok ketika menjalani operasi kawalan sempadan di dalam Hutan Belum, Tasik Banding, Gerik.

Dalam kejadian jam 10.40 malam itu, mangsa Koperal Mohamad Safuan Hassan, 30, berasal dari Raub, Pahang dan Lans Koperal Fahrurozi Abd Manaf, 32, dari Kuala Ketil, Kedah meninggal dunia di lokasi kejadian. – MalaysiaGazette