COLOMBO – Para penunjuk perasaan bertegas mereka akan terus menduduki kediaman presiden dan perdana menteri Sri Lanka sehingga kedua-dua pemimpin itu melepaskan jawatan secara rasmi.
Speaker Parlimen pada hari Sabtu mengumumkan Presiden Gotabaya Rajapaksa akan berundur pada 13 Julai ini tetapi beliau masih belum membuat kenyataan umum.
Sumber tentera memberitahu BBC presiden kini berada di atas kapal tentera laut di perairan Sri Lanka.
Abangnya, bekas Perdana Menteri, Mahinda Rajapaksa pula berada di pangkalan tentera laut di negara itu, kata sumber.
Beribu-ribu penunjuk perasaan berada di Colombo menuntut peletakan jawatannya selepas protes dijalankan selama berbulan-bulan.
Presiden telah dikecam kerana salah urus ekonomi negara hingga menyebabkan kekurangan makanan, bahan bakar dan ubat-ubatan.
Perdana Menteri sekarang, Ranil Wickremesinghe yang kediamannya dibakar turut menyatakan akan melepaskan jawatannya.
Tetapi penunjuk perasaan masih ragu-ragu tentang kenyataan kedua-dua pemimpin itu.
Penganalisis politik dan peguam hak asasi manusia, Bhavani Fonseka berkata, situasi akan menjadi tidak menentu dalam beberapa hari lagi berdasarkan keadaan politik.
Pemimpin politik mengadakan mesyuarat selanjutnya untuk membincangkan peralihan kuasa yang lancar pada hari Ahad.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken berkata, mana-mana kerajaan baharu perlu segera memberi tumpuan kepada kestabilan ekonomi jangka panjang.
Speaker Parlimen Sri Lanka memberitahu BBC World Service Newshour bahawa kerajaan gabungan rentas parti baharu mesti dibentuk dalam masa seminggu selepas presiden secara rasmi meletak jawatan.
Mahinda Yapa Abeywardena, yang merupakan ahli parti pemerintah presiden, kebanyakannya menyalahkan Covid-19 atas masalah ekonomi negara.
“Pandemik Covid telah mencetuskan malapetaka dalam ekonomi negara, jadi kami terpaksa membelanjakan semua wang kami untuk vaksinasi,” katanya. – BBC