KUALA LUMPUR – “Janganlah hina kepercayaan masyarakat India dengan merujuk memikul kavadi sebagai satu beban. Jika Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan tidak faham dengan ritual kaum India, sila rujuk dulu dengan parti komponen anda MIC.”
Itu antara luahan Ahli Jawatankuasa Sayap Bersekutu Pusat Parti Bersatu, MU Raja yang kecewa apabila seorang pemimpin dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini boleh mengeluarkan kenyataan tanpa berfikir sensitiviti kaum lain di negara ini.
“Untuk makluman, sebuah video telah dimuatnaik di laman sosial CheguBard Original mengenai komen oleh Datuk Seri Mohammad Hassan @ Tok Mat, Timbalan Presiden UMNO yang merujuk kepada ‘Kavadi’ dengan menyatakan UMNO kalah pada PRU 14, antara lainnya kerana pikul ‘kavadi’ semasa berdepan PRU.
“Persoalan sini adakah beliau merujuk kepada ‘kavadi’ sebagai satu beban? Kami terkejut, kecewa dan marah kerana ini adalah satu penghinaan teruk kepada agama Hindu, sungguh cetek sekali pemahamaan beliau menampakkan mengenai adat, budaya dan agama kami iaitu kaum ketiga terbesar di negara ini.
“Malah MIC juga sebahagian daripada komponen UMNO. Sepatutnya kenyataan-kenyataan tidak bertanggungjawab seperti ini perlu dielakkan bukan begitu? Saya tidak cabar mana-mana pihak mahu pun cari publisiti murahan tetapi ini adalah salah dan ianya perlu diperbetulkan.
“Kita mohon Mohammad Hassan tampil beri penjelasan dan permohonan dengan segera supaya keadaan keruh ini dapat selesai, kita jangan biar perkara ini berpanjangan hingga ganggu gugat keharmonian kita,” katanya kepada MalaysiaGazette sebentar tadi.
Kata MU Raja lagi, rata-rata masyarakat Hindu membayar nazar dengan cara mengambil kavadi iaitu ritual kepercayaan dengan pelbagai harapan dan ianya tidak sepatutnya di gunakan dalam apa juga kempen atau kenyataan seperti ini.
“Ini bukan sesuatu yang boleh dibuat main. Yang ambil kavadi itu berpuasa, banyak pantang larang dan mengabdikan diri kepada Tuhan, adakah mereka perlu dipermainkan? Ini bukan main-main.
”Apakah logik untuk seorang pemimpin veteran dan cukup berpengalaman seperti Tok Mat boleh menggunakan contoh ‘kavadi’ dalam temuramahnya? Adakah ini boleh guna pakai?
“Jangan cuba campur adukkan politik dan agama serta kepercayaan, tolong elak perkara seperti ini,” tegasnya.
Pengamatan MalaysiaGazette mendapati Mohamad Hassan dalam temuramahnya dengan Asia Times jelas kelihatan menyebut, UMNO kalah teruk pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) bukan kerana parti itu gagal menjaga kebajikan masyarakat umum sebaliknya UMNO ‘memikul’ kavadi besar. -MalaysiaGazette