KUALA LUMPUR – Polis akan melanjutkan tahanan reman terhadap seorang wanita yang ditahan kerana didakwa menghina agama Islam dengan membuka tudung dan baju kurung ketika membuat persembahan komedi di sebuah kelab di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), Petaling Jaya pada Sabtu lalu.
Setiausaha Polis Malaysia, Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, permohonan untuk sambung reman berikutan tahanan terhadap wanita tersebut akan tamat esok.
“Sebelum ini suspek berusia 28 tahun telah ditahan reman sejak Ahad selama tiga hari untuk membantu siasatan polis.
“Oleh kerana reman akan tamat pada 12 Julai ini (Selasa), maka kita akan sambung reman terhadap wanita itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN:Wanita hina Islam ditahan polis
Wanita buka baju, hina Islam disiasat – Polis
Kelab komedi buat laporan polis kes wanita guna premisnya hina Islam
Menurut Noorsiah, kertas siasatan dengan cadangan pertuduhan akan dirujuk ke pejabat peguam negara.
Semalam, seorang wanita yang didakwa menghina Islam dengan membuka tudung dan baju kurungnya ketika membuat persembahan komedi di sebuah kelab di Taman Tun Dr. Ismail ditahan polis.
Menurut sumber, wanita dikenali Siti Amira Natasha Abdullah, 28, ditahan pada pukul 10.45 malam di Taman Jaya, Jalan Gasing, di sini.
Suspek yang mendakwa berasal dari Kuala Kangsar, Perak ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
“Polis turut melakukan pemeriksaan ke atas wanita itu dan berjaya merampas beberapa barangan antaranya baju kurung, tudung, skirt pendek dan telefon bimbit yang dipercayai dipakainya semasa membuat persembahan komedi itu,” ujar sumber itu ketika dihubungi.
Sebelum ini, tular rakaman video berdurasi 54 saat myang memaparkan wanita terbabit muncul atas pentas dengan memakai baju kurung lengkap dan bertudung.
Bagaimanapun selepas memperkenalkan diri sebagai seorang Muslim dan menghafal al-Quran dia kemudiannya menanggalkan satu persatu baju kurung dan tudung dan diganti dengan baju singlet serta skirt. – MalaysiaGazette