Tangkap layar media sosial wanita mengaku Islam dan Melayu menanggalkan pakaian dan tudung depan penonton.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan pihaknya telah menerima satu laporan hari ini berhubung penularan satu rakaman video menunjukkan seorang wanita menghina agama Islam ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi di ibu negara.

Setiausaha PDRM, Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, dalam video wanita berkenaan turut  disebarkan melalui media sosial termasuk TikTok.

Berikutan penularan video itu dan laporan polis yang diterima, Bukit Aman telah memulakan siasatan menerusi Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

BACA ARTIKEL BERKAITAN: Wanita buka baju, tudung selepas mengaku hafal al-Quran

JAWI siasat wanita hafal al-Quran tanggal pakaian depan umum

Kelab komedi buat laporan polis kes wanita guna premisnya hina Islam

Dalam perkembangan berkaitan, Noorsiah menasihati orang ramai agar tidak memainkan sebarang isu yang boleh menyentuh sensitiviti keagamaan dalam kalangan masyarakat.

“PDRM akan mengambil tindakan tegas sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang ke atas mana-mana pihak yang cuba bertindak dalam apa jua cara yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara,” tegasnya.

Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan bahawa dalam video berdurasi 54 saat itu, wanita terbabit membuka pakaian dan tudung di hadapan penonton selepas memperkenalkan diri sebagai seorang penganut Islam dan kemudian menghafal ayat al-Quran.

Dia kemudian menggantikan degan baju singlet dan skirt.

“Hello dan assalamualaikum everyone. Nama saya Siti ****. Saya berasal daripada Kuala Kangsar, Perak. I’m Malay and muslim. Dan saya telah menghafal 15 juzuk al-Quran. But one second…,” katanya sebelum membuka pakaian. – MalaysiaGazette