Crackhouse Comedy Club

KUALA LUMPUR – Crackhouse Comedy Club (CH) yang menjadi lokasi seorang wanita mengaku Islam dan menghafal al-Quran menanggalkan pakaian mengutuk sekeras-kerasnya tindakan individu terbabit.

Dalam satu kenyataan melalui Facebook rasminya, CH berkata, wanita berkenaan telah dilarang daripada berada di kelab tersebut sejurus selepas  selesai melakukan persembahan.

Tambahnya, CH juga telah membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

“Crackhouse Comedy Club (CH) mengutuk sekeras-kerasnya satu rakaman video yang kian tular di media sosial yang memaparkan seorang individu melakukan persembahan yang dikatakan menghina agama Islam.

“Untuk makluman awam, selepas berlakunya persembahan tersebut, individu berkenaan telah dilarang daripada kembali ke Crackhouse Comedy Club

“Crackhouse Comedy Club telah memfailkan laporan polis mengenai insiden ini di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail.
Kenyataan terperinci akan menyusul,” katanya.

Terdahulu tular di media sosial seorang wanita menanggalkan pakaian dan tudungnya satu persatu di hadapan penonton.

Beliau berbuat demikian selepas mengaku sebagai orang Melayu beragama Islam dan menghafal ayat al-Quran.

“Hello dan assalamualaikum everyone. Nama saya Siti ****. Saya berasal daripada Kuala Kangsar, Perak. I’m Malay and muslim. Dan saya telah menghafal 15 juzuk al-Quran. But one second…,” katanya sebelum dia membuka pakaian hingga tinggal singlet dan skirt pendek.

Perbuatan wanita itu kemudiannya mendapat sorakan daripada penonton dalam kelab tersebut.

Susulan itu Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah membuat siasatan awam berhubung kejadian tersebut.

Menurut Pengarah JAWI, Datuk Mohd. Ajib Ismail, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan yang bertujuan menghina dan mencemarkan imej serta kesucian Islam.

Siasatan dibuat di bawah Akta 599 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 Seksyen 7 iaitu menghina atau menyebabkan dipandang hina terhadap agama Islam

Katanya, jika sabit kesalahan individu tersebut boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

JAWI siasat wanita hafal al-Quran tanggal pakaian depan umum

 

 

 

1 Komen

  1. Pemilik club berkenaan membiarkan pelawak londeh baju kurung lantaran sorakan hangat para penontonnya. Sepatutnya beliau peka dengan sensitivity budaya tempatan dengan segera arah batalkan aksi londeh baju kurung tersebut.

Comments are closed.