Mohammad Faiz bersama Kon Yeow pada majlis penutupan program ‘Powering SemiCons: Financing Your Next Breakthrough’ di Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bersedia mengawal selia pelaburan Lembaga Tabung Haji (TH) sekiranya diarahkan kerajaan.

Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, satu pasukan petugas bersama yang terdiri daripada SC, Bank Negara Malaysia (BNM) dan TH kini sedang meneliti cadangan jawatankuasa semakan berkenaan serta menentukan perkara yang sesuai untuk dilaksanakan.

“Jika kerajaan merasakan ia sesuai, kita akan melaksanakannya. Buat masa ini, terdapat pasukan petugas bersama BNM dan TH untuk membincangkan cadangan berkenaan dan kita akan melaksanakan apa yang bersesuaian,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan program ‘Powering SemiCons: Financing Your Next Breakthrough’ di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Mohammad Faiz berkata, TH yang menguruskan pelaburan dalam skala besar wajar tertakluk kepada pengawasan kawal selia yang sewajarnya, namun keputusan akhir berhubung perkara itu terletak pada kerajaan.

“TH adalah sebuah agensi dengan pelaburan yang besar, jadi ia sememangnya perlu dikawal selia. Tetapi keputusan adalah di tangan kerajaan. Saya akan mengikut arahan,” katanya.

Untuk rekod, TH kini sedang mengkaji kaedah pengawasan dan pengurusan dana serta pelaburannya sebagai sebahagian usaha memperkukuh tadbir urus selaras dengan Akta Tabung Haji 1995.

Semakan itu susulan cadangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi melakukan pembaharuan terhadap tadbir urus dan kerangka pelaburan TH, termasuk pemisahan tanggungjawab yang lebih jelas bagi pengurusan haji, hal ehwal kewangan, dana dan pelaburan.

RCI turut mencadangkan fungsi pelaburan TH diuruskan oleh sebuah jabatan khusus dikenali sebagai Dana Haji, yang kekal dalam TH tetapi didaftarkan atau dilesenkan oleh SC.

Sementara itu, ketika diminta mengulas pematuhan Syariah dalam pelaburan TH, Mohammad Faiz berkata, jawatankuasa semakan mencadangkan penubuhan jawatankuasa Syariah bagi lembaga tabung berkenaan.

Katanya, jawatankuasa itu akan memberi jaminan lebih besar kepada pendeposit bahawa dana mereka dilaburkan mengikut prinsip Syariah.

“Cadangan dalam semakan itu adalah untuk menubuhkan jawatankuasa Syariah seperti yang terdapat dalam bank Islam. Ia akan memberi keyakinan kepada pendeposit bahawa apa yang mereka laburkan sememangnya mematuhi Syariah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here