Sebahagian jemaah bakal berlepas ke Tanah Suci Mekah bagi menunaikan Ibadah Haji selepas tertangguh dua tahun akibat pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).Foto HAZROL ZAINAL, 05 JULAI 2022.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Malaysia Tourism Council (MTC) berpendapat kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berhubung isu penipuan jemaah haji di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengelirukan.

Presidenya, Uzaidi Udanis berkata, isu berkenaan bukan di bawah MOTAC sebaliknya mengikut Akta Parlimen, semua urusan haji adalah di bawah bidang kuasa Tabung Haji (TH).

“Oleh itu, kenyataan Idris mengatakan isu haji di bawah MOTAC tidak betul dan mengelirukan orang awam terutama jemaah haji yang terkandas baru-baru ini.

“MTC berharap pihak Menteri Hal Ehwal Agama dapat memperbetulkan kenyataan tersebut dan beliau perlu lebih proaktif membantu menyelesaikan isu berkenaan, dan bukan hanya kepada pihak yang lain seperti MOTAC,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Uzaidi, MOTAC di bawah kepimpinan Datuk Seri Nancy Shukri sedang sedaya upaya untuk memulihkan industri pelancongan yang terkesan akibat pandemik Covid 19 .

Sehubungan itu, beliau berkata, adalah amat tidak adil bagi seorang Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menolak isu haji kepada MOTAC sekaligus akan menjejaskan nama baik MOTAC dalam kalangan orang awam.

Terdahulu, Idris mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci mengenai isu hampir 400 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menerusi hantaran di Facebook rasminya, Idris memaklumkan, isu penipuan umrah dan haji adalah di bawah MOTAC namun Bahagian Hal Ehwal Agama tetap bekerjasama membantu mereka yang dizalimi. – MalaysiaGazette