KUALA LUMPUR – Kerajaan yang memerintah hari ini perlu menjawab kepada Tuhan sekiranya gagal mengambil tindakan terhadap wanita yang mempersendakan Islam di sebuah kelab komedi, baru-baru ini.
Pengasas Pertubuhan Mualaf Pelbagai Bangsa (MRM), Firdaus Wong Wai Hung berkata, tugas menghukum pelaku yang menghina agama tertakluk kepada kuasa pemerintah dan bukannya orang awam.
“Dalam konteks penghinaan agama, hanya pemerintah yang boleh ambil tindakan, bukan orang awam. Andai kata pemerintah tidak mengambil tindakan, maka pemerintah itu perlu menjawab kepada Allah nanti,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Jelas pendakwah bebas itu, undang-undang di negara ini yang lemah menjadi salah satu faktor golongan yang menghina Islam berani mempersenda agama di khalayak ramai.
“Undang-undang lemah antara faktor mereka jadikan agama sebagai bahan lawak, mungkin juga mereka kurang idea dalam berjenaka atau mungkin meluat dengan situasi politik yang akhirnya dikaitkan dengan agama,” ujarnya.
Bagaimanapun, Firdaus berharap umat Islam di negara ini tidak membuat sebarang komen yang melanggar nilai peradaban di dalam Islam walaupun timbul kemarahan apabila menonton video berkenaan.
“Ya, kita marah akan perlakuan itu tetapi dalam kemarahan kita Islam sentiasa mengajar untuk menjaga adab dan akhlak. Kita tidak boleh mencarut, menghina, melaknat dan sebagainya ketika kita tulis komen atau cakap soal itu,” ulasnya.
Firdaus berkata, umat Islam bukan sahaja harus mendoakan agar pelaku berkenaan diberikan hukuman setimpal, malah perlu juga mendoakan supaya pelaku bertaubat dan menjadi insan yang lebih baik.
BAru-baru ini, tular di media sosial seorang wanita membuka pakaian dan tudung di hadapan penonton dengan mendakwa dirinya penganut agama Islam serta menghafal 15 juzuk al-Quran.
Hari ini, Setiausaha Polis Malaysia (SUPM) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, wanita itu akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Siber, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur esok.