Tommy Thomas

KUALA LUMPUR – Bekas anggota Kabinet Pakatan Harapan (PH) sekali lagi digesa supaya menjelaskan surat yang dianggap ‘luar biasa bodoh’ daripada bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas kepada peguam keturunan Sulu.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menuntut penjelasan daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng.

“Sehingga hari ini, Tun M, Muhyiddin, Mat Sabu dan Guan Eng masih membisu berkenaan isu kes Sulu ini.

“Saya tanya lagi: Adakah surat yang luar biasa bodoh ini diluluskan jemaah menteri kerajaan PH masa itu ataupun ianya hanya surat dari Tommy sebagai Peguam Negara sahaja?” soal Najib.

Pertanyaan itu dilontarkan sekali lagi hari ini selepas sebuah portal berita melaporkan waris Kesultanan Sulu yang dikatakan menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia – merampas dua anak syarikat gergasi minyak Malaysia Petronas yang diperbadankan di Luxembourg.

Menurut laporan Financial Times yang berpangkalan di London, peguam pihak yang menuntut merampas Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus yang dilaporkan bernilai AS$2 bilion.

Peguam tersebut berkata, bailif di Luxembourg merampas syarikat induk bagi pihak pelanggan mereka pada Isnin lalu.

Keturunan sultan Sulu terakhir, Sultan Jamalul Kiram II menuntut jumlah amat besar sebagai pampasan daripada Malaysia berikutan proses timbang tara.

Proses timbang tara itu dimulakan sebagai tindak balas ke atas Malaysia yang memotong pembayaran pajakan tahunan sebanyak RM5,300 kepada Kesultanan Sulu pada 2013.

Pada 13 Mac lalu, Najib mempersoalkan tindakan Tommy menyatakan rasa kesal kepada peguam Sulu selepas Malaysia memberhentikan bayaran RM5,300 setahun dalam surat kepada peguam di United Kingdom (UK)  yang mewakili keturunan Sulu yang menyaman negara pada tahun 2019.

Najib tidak faham mengapa Tommy mengaku Malaysia kesal dalam surat kepada peguam Sulu sedangkan bayaran tersebut dihentikan pada tahun 2013 selepas insiden pencerobohan Lahad Datu.

”Yang saya tak faham ialah Peguam Negara masa kerajaan PH telah tulis surat pada tahun 2019 kepada peguam UK mewakili keturunan Sulu yang sedang saman negara kita untuk mengaku Malaysia kesal dengan pemberhentian bayaran dan menawar untuk bayar “tunggakan” dari tahun 2013 hingga tahun 2019 berjumlah RM48,300 bagi menyelesaikan kes.

“Saya memang tak faham kenapa dia kesal. Dia kesal bahawa ‘hanya’ 10 ahli anggota keselamatan kita terbunuh atau apa?” soal Najib lagi.

Najib juga mempersoalkan adakah Tommy dan PH fikir keturunan Sulu akan menghentikan kes setelah dibayar pampasan RM48,300 sahaja.

Sedangkan mereka sanggup mengupah peguam UK untuk saman Malaysia untuk pampasan berpuluh bilion ringgit di negara Sepanyol.

Najib turut kesal kerana selain kerajaan PH tidak menghantar wakil bagi kes Mahkamah Sepanyol, surat Tommy pada tahun 2019 telah dijadikan bukti dan alasan utama oleh peguam keturunan Sulu.

Ini kerana surat tersebut disifatkan sebagai pengakuan bahawa negara telah “salah” dan Malaysia “kesal”.

Surat tahun 2019 itu juga digunakan oleh peguam UK untuk menyangkal pendirian Peguam Negara, Tan Sri Idris Harun bahawa identiti waris terbabit diragui.

”Sekiranya kamu kata Malaysia sudah mengaku salah dan kesal, adakah kami masih berpeluang untuk menang kes ke?” soal Najib.– MalaysiaGazette