Hamzah Zainuddin

PUTRAJAYA – Penggunaan Sistem Pembantu Rumah Dalam Talian (MOS) dalam pengambilan pekerja domestik tidak hanya terpakai kepada tenaga kerja warga Indonesia.

Sebaliknya, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ia turut turut digunakan kepada negara lain sebelum menghantar tenaga pekerja kepada Malaysia.

“Saya nak maklumkan permohonan secara atas talian itu dah umumkan kepada dunia, boleh kita gunakan sistem online tak kan ada orang kata tidak boleh sistem online. Kenapa pula, ini sistem yang kita gunakan.

“Jadi ianya bukan hanya untuk Indonesia tapi untuk semua warga asing datang yang perlukan visa boleh buat secara atas talian,” katanya ketika sidang media pada Majlis Penyerahan Surat Keputusan Kewarganegaraan.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono, berhubung pembekuan sementara pengambilan tenaga kerja dari negara itu ke Malaysia serta merta.

Kata Hamzah, sistem MOS yang digunakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memastikan warga asing yang ingin bekerja di Malaysia mempunyai dokumentasi lengkap.

“Yang penting kepada semua untuk memahami bahawa, kita ingin memastikan semua tenaga kerja asing mempunyai dokumen yang lengkap jika mereka ingin datang dan tinggal di negara ini

“Kita ada banyak warga asing yang datang duduk bekerja, negara sumber nombor satu adalah Bangladesh, dan kita ada 15 lagi negara sumber,” katanya.

Sebelum ini, Hermono memaklumkan republik itu membekukan sementara kemasukan pekerja ke Malaysia serta merta.

Beliau mendakwa, keputusan itu dibuat susulan berlakunya pelanggaran syarat-syarat dalam memorandum persefahaman (MoU) pekerja domestik antara dua negara yang ditandatangani tiga bulan lalu. – MalaysiaGazette