KUALA LUMPUR – Gurauan tarik tudung oleh seorang lelaki dan persembahan komedi solo oleh wanita muslim baru-baru ini benar-benar membangkitkan kemarahan orang Islam.
Justeru, Pemudi Parti Berjasa menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi penguatkuasaan mengambil tindakan serius kepada individu terbabit supaya menjadi pengajaran kepada masyarakat khususnya golongan muda yang terikut-ikut dengan agenda liberal.
Ketuanya, Azliza Rajiain berkata, stesen televisyen dan pemain industri hiburan juga digesa menghentikan produksi hiburan yang tidak mendidik masyarakat.
Beliau mahu pihak berkenaan kembalikan jati diri dan maruah penonton dengan santapan hiburan mendidik akal dan jiwa seperti filem Mat Kilau, yang mencapai sasaran luar biasa.
“Dua kes mempersendakan agama berlaku ketika umat Islam hendak menyambut hari kebesaran dalam agama baru-baru ini.
“Jika satu ketika dulu, umat Islam bersatu mempertahankan akidah seorang gadis bernama Natrah, namun hari ini umat Islam sendiri yang mempermainkan agama.
“Normalisasi apakah yang sedang dirancang secara halus ini?,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Azliza mengingatkan kepada pempengaruh media sosial bahawa mereka mempunyai tanggungjawab besar dalam mendidik masyarakat terutama anak muda.
Beliau mahu setiap daripada mereka meletakkan diri sebagai orang yang bermaruah dengan menghasilkan konten yang bermanfaat kepada anak bangsa. – MalaysiaGazette