Alexander Navin A/L Vijayachandran sebelum ini ditahan polis berhubung siasatan tingkah laku membuat lawak yang dilihat sengaja mencetuskan provokasi terhadap umat Islam di Malaysia diiringi pegawai polis untuk menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 13 JULAI 2022

PETALING JAYA – Teman lelaki kepada wanita yang dituduh menghina Islam hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, atas dua pertuduhan memuat naik kandungan jelik yang menyakitkan hati di media sosial.

Penulis sambilan, Alexander Navin Vijayachandran, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan itu yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azrul Darus dan memohon dibicarakan.

Tertuduh yang juga bekas jurulatih menyelam dibawa ke mahkamah pada jam 9.35 pagi dengan berpakaian baju berwarna hitam dan berseluar jeans pendek berwarna biru.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh pada 5 Jun 2022 telah memuat naik hantaran yang menyakitkan hati melalui pautan Instagram dengan akaun bernama ‘greenleafyconnoiseur’ membuat dan memulakan penghantaran dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi yang jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Kandungan itu telah dibaca pada jam kira-kira 1.30 pagi 9 Julai di D12A, Perdana View Condominium, Jalan PJU 8/1, Damansara Perdana, Petaling Jaya.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Alexander yang berasal dari Pulau Pinang dituduh secara sedar membuat dan memulakan penghantaran dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi yang jelik sifatnya menggunakan nama profil Youtube ” Alex &Amy@Insta Greenleafyconnoiseur di pautan aplikasi YouTube pada 16 Jun 2022 pada waktu dan tempat yang sama dan melakukan kesalahan di bawah seksyen dan akta yang sama.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita hina Islam, teman lelakinya didakwa esok – Polis

Teman lelaki wanita disyaki hina Islam ditahan

Terdahulu, pertuduhan terhadap Alexander Navin yang sepatutnya bermula jam 10.10 pagi ditangguhkan kerana menunggu peguamnya yang berurusan dengan satu kes di Kuala Lumpur.

Peguam Ramesh NP Chandran dan Sivaraj tiba di mahkamah Petaling Jaya pada jam 11.30 pagi

Alexander Navin A/L Vijayachandran sebelum ini ditahan polis berhubung siasatan tingkah laku membuat lawak yang dilihat sengaja mencetuskan provokasi terhadap umat Islam di Malaysia diiringi pegawai polis untuk menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 13 JULAI 2022

Ramesh memohon maaf kepada mahkamah atas kelewatan kerana terpaksa menyelesaikan kes sama membabitkan teman wanita tertuduh, Siti Nuramira Abdullah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Pendakwaan yang dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Firdaous Mohamed Idris mencadangkan wang jaminan RM80,000 iaitu RM40,000 untuk setiap pertuduhan yang dihadapi tertuduh.

Mohamad Firdaous juga meminta mahkamah mengenakan syarat tambahan terhadap tertuduh iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak boleh memuat naik apa-apa kandungan dalam platform media sosial sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, R. Sivaraj membantah dengan alasan cadangan wang jaminan itu keterlaluan dan jsyarat tambahan yang dicadangkan Timbalan Pendakwa Raya tidak wajar digunapakai dengan pertuduhan kerana semua kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah kesalahan yang boleh dijamin.

“Saya merayu agar mengurangkan jumlah wang jaminan tersebut dengan mengambil kira kehidupan semasa tertuduh yang tidak menentu apabila sekadar bekerja sebagai penulis freelance dengan pendapatan tidak tetap antara RM1,000 hingga RM2,000 dan akan dijamin oleh jirannya.

“Dengan ini kami memohon wang jaminan serendah RM1,500 untuk setiap pertuduhan dengan seorang penjamin,” katanya.

Selepas mengambil kira hujah kedua-dua belah pihak, hakim membenarkan wang jaminan RM20,000 iaitu RM10,000 untuk setiap pertuduhan dengan seorang penjamin tanpa sebarang syarat tambahan.

Azhar turut menetap 1 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes penyerahan dokumen dan laporan forensik.

Pada Isnin lalu Setiausaha Polis, Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin mengesahkan suspek berusia 38 tahun itu ditahan pasukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

Tangkapan dibuat pada 10 Julai lalu di Petaling Jaya dan suspek direman selama tiga hari bermula 11 Julai lalu hingga hari ini.

Pada pagi ini, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Siti Nuramira didakwa mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan suasana tidak harmoni, pepecahan, kebencian permusuhan, niat jahat, atau menjejaskan keharmonian atau perpaduan dalam kalangan umat Islam ketika membuat persembahan di Crackhouse Comedy Club, Taman Tun Dr Ismail, di sini pada 4 Jun lalu.

Sebelum ini, wanita berusia 26 tahun yang mengaku menghafal 15 juzuk al-Quran  menanggalkan pakaian dan tudung dipakainya dan mendedahkan pakaiannya iaitu baju terdedah sebahagian dada tanpa lengan serta memakai skirt pendek di kelab komedi itu. – MalaysiaGazette