Wanita yang didakwa menghina Islam dengan membuka tudung dan baju kurungnya dalam sebuah persembahan komedi di sebuah kelab di Taman TTDI akan didakwa bersama teman lelakinya di mahkamah esok.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang didakwa telah menghina agama Islam dalam satu program  di kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) akan dituduh di mahkamah esok.

Setiausaha Polis Malaysia (SUPM) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, kertas siasatan yang sudah dilengkapkan telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara.

“Susulan itu, polis mendapat arahan daripada pejabat peguam negara untuk menuduh suspek di Mahkamah Sesyen Siber, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur jam 9 oagi mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

“Pada masa yang sama, reman ke atas suspek yang tamat pada hari ini juga telah disambung selama satu sehari sehingga esok (Rabu) ,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita hina Islam ditahan polis

Wanita hina Islam akan disambung reman

Teman lelaki wanita disyaki hina Islam ditahan

Tambah Noorsiah, dalam perkembangan berkaitan, seorang lagi suspek iaitu teman lelaki wanita berkenaan yang berusia 38 tahun juga akan dituduh di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 9 pagi esok mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dalam satu kenyataan 10 Julai lalu, Noorsiah menegaskan, wanita berusia 28 tahun itu ditahan di kawasan TTDI dan beberapa barang antaranya pakaian serta tudung yang dipakai semasa kejadian turut dirampas.

Suspek kemudian direman selama tiga hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan lanjut polis.

Terdahulu, siasatan polis dibuat berhubung penularan video menunjukkan seorang wanita menghina Islam ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi.

Siasatan berhubung kes berkenaan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Pendakwaan dan Undang-undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Siasatan itu dijalankan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni.

Selain itu, kertas siasatan juga dibuka di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Sebelum ini, tular satu rakaman video di TikTok dan juga media sosial yang menunjukkan seorang wanita tampil berpakaian sopan dalam satu majlis di sebuah kelab malam di TTDI.

Dalam video berdurasi 54 saat berkenaan, wanita itu mendakwa dirinya sebagai penganut beragama Islam serta menghafal 15 juzuk al-Quran sebelum secara tiba-tiba dia menanggalkan baju kurung serta tudungnya sehingga mendedahkan auratnya dan digantikan dengan singlet hitam dan skirt. – MalaysiaGazette