MELAKA – “Memang kadang-kadang tu ada juga saya merungut penat, tapi selagi ada kudrat, saya akan terus jaga ibu dan ayah yang amat memerlukan perhatian,” kata Shuhaidah Sawi, 47.
Ibu tunggal anak empat itu berkata, sejak berpisah dengan suami enam tahun lalu, keutamannya adalah untuk menguruskan kehidupan seharian keluarga serta ibunya, Hamidah Halil, 64, yang terpaksa berkerusi roda untuk bergerak akibat kemalangan jalan raya dua tahun lalu.
Malah, peniaga nasi lemak di Taman Kota Laksamana itu juga perlu memberi perhatian terhadap ayahnya Sawi Basri, 67, yang perlu menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu.
“Sebagai ibu tunggal, pernah juga terdetik ujian hidup yang dihadapi ini, namun saya harus cekal demi ayah dan ibu serta empat anak berusia antara 24 hingga 13 tahun yang turut banyak membantu.
“Walaupun kadang-kadang terpaksa juga berkira-kira beli lauk pauk kerana harga yang mahal sekarang, saya bersyukur kerana masih bernasib baik dapat menumpang di rumah orang tua,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya semalam.
Tambah Shuhaidah, ketika ini dia hanya bergantung harap kepada hasil jualan nasi lemak yang diperoleh antara RM20 hingga RM50 sehari selain bantuan bulanan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).
“Cuma Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sahaja, saya sudah mohon sejak empat tahun lalu namun masih belum menerima keputusan sehingga kini.
“Sebagai ibu tunggal, saya amat berharap agar pihak berwajib dapat segera membantu mempermudahkan urusan kami kerana selama ini pun, ibu bergiat aktif membantu orang susah,” katanya.
Sementara itu, aduan berkenaan turut mendapat perhatian Ketua Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka Datuk Haryaty Hamdzah yang turun padang membantu keluarga berkenaan.
“Saya dah rujuk masalah ini kepada JKM dan keluarga ini akan mendapat bantuan pesakit terlantar bernilai RM500 sebulan bermula Ogos ini yang telah diusahakan sejak dua tahun lalu.
“Sebenarnya, pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Kota Laksamana di bawah Barisan Nasional juga telah lima kali hadir di sini selain JKM juga tiga kali dah datang.
“Masalah sebelum ini adalah ada dokumen yang tidak lengkap, tapi sekarang ianya berjaya diselesaikan dan kita berharap mana-mana pemimpin supaya tampil membantu tanpa melihat warna parti demi kesejahteraan rakyat,” katanya.