JASIN – Seorang juruteknik sebuah kilang yang disyaki mabuk ketika memandu sehingga merempuh mati pasangan suami isteri orang kurang upaya (OKU) awal bulan lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jasin di sini hari ini.

Tertuduh, Amirul Anwar Mohamed, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Siti Khairiah Abdul Razak.

Mengikut pertuduhan, pemandu Perodua Myvi itu didakwa memandu kenderaan secara melulu atau dengan merbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian pasangan suami isteri Ezuddin Mohammad,50 dan isterinya Surayah Muhamat, 46.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 7.45 pagi di Jalan Serkam Pantai – Merlimau, Jasin pada 6 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Pindaan 1999) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun dan denda antara RM20,000 hingga RM50,000.

Terdahulu pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar memohon tertuduh dikenakan jaminan RM30,000 serta lesen memandunya digantung.

Tertuduh yang diwakili peguam Mohd Fadzlullah Ramlee bagaimanapun merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya perlu menjaga ayahnya yang kurang sihat.

Siti Khairiah dalam penghakimannya kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM12,000 dengan dua penjamin serta mengarahkan lesen memandunya digantung sepanjang perbicaraan berjalan.

Mahkamah turut menetapkan 29 Ogos ini sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.

MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan dalam kejadian pagi 7.45 pagi 6 Jun lalu, pasangan OKU bisu berkenaan, yang menaiki motosikal maut selepas dirempuh sebuah Perodua Myvi.

Kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dalam nahas melibatkan sebuah kereta dan tiga buah motosikal di Jalan Serkam Pantai, Jasin.

Nahas turut melibatkan seorang daripada dua lagi penunggang motosikal yang turut dirempuh pemandu kereta berkenaan cedera di bahagian badan. – Malaysiagazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast