Pengarah Strategi Muda Amanah Nasional, Ammar Atan (tengah) menunjukkan salinan laporan polis terhadap Najib Razak berkenaan isu tuntutan Waris Kesultanan Sulu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 14 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Pemuda Amanah mencabar Datuk Seri Najib Tun Razak berdebat bagi membuktikan bekas Perdana Menteri itu tidak berbohong berhubung tuntutan waris Kesultanan Sulu ketika zaman pentadbirannya.

Pengarah Strateginya, Mohamad Ammar Atan berkata, cabaran itu dibuat untuk memastikan Najib bertanggungjawab terhadap kecuaian pentadbirannya dan bukannya menyalahkan Pakatan Harapan (PH).

“Kami bersedia untuk berdebat atas isu ini kerana ia melibatkan kepentingan rakyat, kedaulatan negara dan beliau cuba melarikan diri daripada tanggungjawab ini.

“Apa yang berlaku pada hari ini adalah kecuaian Datuk Seri Najib sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri.

“Bukan sekadar melarikan diri malah menuduh pihak lain kononnya bertanggungjawab menuduh Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Tommy Thomas dan PH seolah-olah beliau paling suci,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ammar Atan (tengah) ketika bercakap pada media isu tuntutan Waris Sulu selepas selesai membuat laporan polis terhadap Najib Razak berkenaan pembohongan dalam isu tuntutan Waris Kesultanan Sulu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 14 JULAI 2022.

Terdahulu beliau bersama dua peguam Pemuda Amanah iaitu Azri Abdullah dan Fadhli Umar Aminolhuda membuat laporan polis terhadap Najib di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Selasa lalu, akhbar Financial Times melaporkan aset dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan dirampas oleh waris kesultanan Sulu, yang menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia.

Peguam pihak yang menuntut dilaporkan merampas aset Petronas yang didaftarkan di Luxembourg, iaitu Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, dengan nilai dilaporkan mencecah lebih AS$2 bilion (RM8.8 bilion).

Langkah itu adalah sebahagian tindakan undang-undang yang dikemukakan pada 2017 oleh waris Sultan Sulu untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah yang didakwa mereka dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878. – MalaysiaGazette