KUALA LUMPUR – Kerajaan mengumumkan Inisiatif Pemilikan Perumahan Keluarga Malaysia atau i-MILIKI yang melibatkan pemberian insentif pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah pertama secara peringkat atau tier harga rumah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi peringkat pertama rumah berharga RM500,000 dan ke bawah, insentif pengecualian duti setem adalah sebanyak 100 peratus.
“Kedua bagi rumah berharga melebihi RM500,000 sehingga RM1 juta, insentif pengecualian sebanyak 50 peratus. Pengecualian ini adalah bagi perjanjian jual beli yang disempurnakan dalam tempoh mulai 1 Jun ini sehingga Disember 2023,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran Home Ownership Programme (HOPE) dan Pelancaran Karnival Jom Beli Rumah 2022 di Pusat Pameran Mid Valley hari ini.
Turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri turut mengucapkan tahniah kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kerana memperkenalkan program HOPE kerana selaras dengan gagasan ‘Satu Keluarga Satu Rumah’.
Beliau berkata, HOPE bukan sahaja membantu mempromosi perumahan untuk segenap lapisan masyarakat tetapi juga bagi melihat ekosistem sektor perumahan secara holistik.
“Dalam hal ini, komitmen kerajaan untuk memastikan penyediaan kediaman yang mencukupi, berkualiti dan mampu dimiliki haruslah didaya oleh semua pihak penyedia perumahan termasuklah pihak swasta.
“Bahkan dalam soal pemilikan rumah ini juga, ia harus didokong oleh ekosistem institusi kewangan yang lebih menyokong dan memudahkan urusan pemilikan,” katanya.
Ismail Sabri juga gembira apabila Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia atau i-BIAYA telah dilancarkan oleh KPKT dengan kerjasama Kementerian Kewangan bagi memudahkan pemilikan kediaman dalam kalangan Keluarga Malaysia khususnya generasi muda.
Beliau turut dimaklumkan satu pemetaan Indeks Harga Rumah Mampu Milik yang pertama seumpamanya sedang dibangunkan oleh KPKT sebagai panduan kepada Keluarga Malaysia tentang harga rumah mampu milik di seluruh negara.
“Oleh itu, saya berharap lebih banyak kediaman mampu milik dapat disediakan oleh pihak pemaju perumahan yang menepati had pendapatan Keluarga Malaysia berdasarkan lokaliti.
“Menjadi harapan saya agar lebih banyak program bersifat pendidikan diperhebatkan seperti Kempen Bijak Beli Rumah dan Pemilikan Kediaman pada usia muda.
“Ini pastinya dapat membantu Keluarga Malaysia khususnya pembeli rumah pertama mendapat pengetahuan tentang pemilikan hartanah dan memudahkan mereka membeli kediaman idaman mengikut kemampuan masing-masing,” katanya. – MalaysiaGazette