Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) Bukit Goh di Kuantan antara 111 pusat yang ada di seluruh Pahang.

PEKAN – Kewujudan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) diiktiraf sebagai antara infrastruktur digital utama dan penting yang akan memacu agenda digital peringkat negeri.

Ia seperti yang termaktub dalam Pelan Digital Pahang (PDP) 2021 – 2025 yang dilancarkan pada bulan Jun lalu, kata Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Datuk Mohd Fakharuddin Ariff.

Dalam pada itu, beliau berharap semua petugas PEDi sentiasa mempunyai maklumat dan pengetahuan terkini selaras dengan peranan dan tanggungjawab mereka membimbing masyarakat yang berada di sekitar lokasi PEDi di Pahang.

“Semua petugas PEDi di Pahang telah mengikuti Program Pemerkasaan Transformasi PEDi anjuran SKMM (Suruhanjaya Komunikasi Multimedia) Pahang yang berlangsung di Kuantan pada 5 dan 6 Julai lalu bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan skop tugasan mereka.

“Program itu juga bertujuan memberi maklumat terkini tentang hala tuju baharu PEDi, pendedahan maklumat bantuan  keusahawanan yang disediakan di peringkat negeri mahupun nasional dalam menjana ekonomi digital dan membantu usahawan tempatan terutamanya usahawan kecil di kampung-kampung,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mohd Fakharuddin, PEDi di negeri itu merekodkan seramai 159,754 pengguna di 111 pusat sedia ada.

Menurutnya, tiga PEDi baharu telah siap dan beroperasi awal tahun 2022 turut menghidupkan pusat ekonomi digital masyarakat luar bandar.

“Tiga pusat baru dibuka ialah PEDi Sungai Koyan di Lipis,  Selancar di Rompin dan Bukit Goh di Kuantan menjadikan jumlah 111 PEDi dan petugas di Pahang bagi memberi capaian internet secara kolektif kepada masyarakat setempat.- MalaysiaGazette