Rafizi Ramli

PETALING JAYA – Tindakan bakal Timbalan Presiden PKR, Mohd. Rafizi Ramli yang mengumumkan “menu” atau senarai calon pilihannya untuk anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR mengundang kontroversi.

Seramai 70 orang bertanding 20 jawatan MPP PKR dan pengundian akan berlaku pada Sabtu.

Baru-baru ini, Mohd. Rafizi telah mengumumkan senarai calon pilihannya melalui Facebook dan meminta mereka disokong.

Sinchew Daily melaporkan, kekeliruan berlaku kerana terdapat seorang pemimpin yang meminta dimasukkan ke dalam kem Mohd. Rafizi, tetapi akhirnya tidak dimasukkan dalam “senarai pilihan.”

“Walaupun tidak dimasukkan, calon ini memberitahu orang ramai bahawa dirinya berada dalam kem Rafizi,” kata sumber kepada akhbar itu.

Walau bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu di Pahang, Lee Chean Chung yang tersenarai dalam “menu” Mohd. Rafizi berkata, kewujudan “menu” adalah perkara biasa dan senarai yang diumumkan boleh menjadi rujukan ahli parti.

“Wakil parti sudah ada calon pilihan masing-masing dan mereka tidak semestinya akan memilih mengikut menu,” katanya.

Timbalan Ketua PKR Johor, Jimmy Puah bagaimanapun berpendapat Mohd. Rafizi harus mengutamakan penyatuan parti, bukannya berkempen untuk sesetengah orang.

Katanya, tindakan Mohd. Rafizi walaupun tidak mengundang perpecahan, tetapi mungkin mewujudkan lebih banyak salah faham dalam parti.

“Tak apa kalau beliau bukan timbalan presiden, tetapi memandangkan beliau telah menang jawatan timbalan presiden, maka penyatuan parti harus diutamakan,” katanya.

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah yang tidak disenarai Mohd. Rafizi pula berkata, bakal timbalan presiden parti itu boleh mempunyai pandangan sendiri kerana PKR adalah bersifat inklusif.

“Tindakan mengumumkan menu tidak akan membawa ketidakadilan untuk calon lain, tetapi apa yang penting adalah penyatuan selepas pemilihan berakhir.

“Hakikatnya, tiada mana-mana orang yang mampu berjuang secara berseorangan,” katanya.

– MalaysiaGazette