KUANTAN – Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) bersama Jabatan Perdana Menteri (JPM) menyantuni komuniti luar bandar melalui Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ke empat buah kampung di Ulu Tembeling di Jerantut hari ini.
Pengerusi PUNB, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, rombongan yang terdiri daripada 35 warga kerja PUNB dan JPM menyantuni penduduk Kampung Gusai, Kampung Bantal, Kampung Orang Asll Bengol dan Kampung Kuala Sat di Ulu Tembeling.
Para peserta misi amal itu mengambil peluang untuk beramah mesra bersama komuniti setempat dan menyampaikan sumbangan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP), masjid dan sekolah di kampung berkenaan.
“Kita berharap dengan kehadiran PUNB dan JPM, penduduk yang tinggal kawasan pedalaman tidak rasa terpinggir. Kami menyantuni penduduk setempat untuk mengenali mereka dengan lebih rapat sekali gus mengetahui permasalahan yang dihadapi.
“Selain itu, inisiatif kebajikan ini juga memberi peluang untuk menyumbang kembali kepada komuniti malahan memberikan kegembiraan buat semua pihak,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu baru-baru ini, PUNB menyumbangkan sebuah van kepada Maahad Qiraat An-Nur untuk kegunaan pusat tahfiz tersebut.
Majlis penyerahan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin kepada wakil pengurusan tahfiz.
Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) JPM, Datuk Mohammad Ismail berkata, kolaborasi seumpama itu harus diteruskan agar komuniti luar bandar dapat menikmati limpahan ekonomi negara.
“Program ini bertujuan menyantuni komuniti luar bandar selaras dengan konsep Keluarga Malaysia iaitu kebersamaan dan kesyukuran.
“JPM juga prihatin turun padang bersama-sama PUNB melihat sendiri komuniti luar bandar dan ia merupakan satu usaha mumi agensi kerajaan,” katanya. -MalaysiaGazette