Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kanan), Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (kiri) berbual ketika hadir pada Majlis Perasmian Program Pemilikan Perumahan dan Karnival Jom Beli Rumah yang diadakan di Pusat Pameran Midvalley (MVEC), Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 15 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) diarah menyelesaikan isu memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara berhubung pengambilan dan perlindungan pekerja negara itu termasuk Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) ke Malaysia pada April lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, isu tersebut perlu diselesaikan segera agar tidak mengeruhkan hubungan baik antara dua negara.

“Saya sudah minta Menteri Sumber Manusia dan Menteri KDN supaya selesaikan isu ini segera. Ya, saya nak selesaikan isu ini. Saya tak nak panjang-panjang. Saya takut perkara ini boleh mengeruhkan hubungan antara kita dengan Indonesia.

“Jadi saya kata, selesaikan. Okey. Jangan ada perkara-perkara seperti ini boleh yang boleh menyebabkan masalah hubungan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Home Ownership Programme (HOPE) dan Pelancaran Karnival Jom Beli Rumah 2022 di Pusat Pameran Mid Valley hari ini.

Turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau diminta mengulas keputusan Indonesia mengenakan pembekuan sementara ke atas semua pekerja negara itu memasuki Malaysia sejak semalam berikutan Jabatan Imigresen terus menggunakan System Maid Online (SMO) biar pun kedua-dua negara bersetuju menggunakan satu saluran iaitu One Channel System (OCS) menerusi MoU.

Kelmarin, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata, negeri itu bersikap ‘berlapang dada’ sekiranya Malaysia berhasrat membatalkan MoU antara kedua-dua negara berhubung pengambilan dan perlindungan pekerja negara itu termasuk Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) ke Malaysia.

Beliau berkata, ini kerana MoU terbabit tidak dihormati berikutan butiran dalam perjanjiannya tidak dipatuhi Malaysia. – MalaysiaGazette