KUALA LUMPUR – Atlet lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa gagal mempamerkan lompatan sempurna setelah tersingkir seawal pusingan kelayakan di Kejohanan Olahraga Dunia 2022 di Oregon, Amerika Syarikat, semalam.
Menurut laman web kejohanan https://worldathletics.org/competitions/world-athletics-championships/oregon22, atlet berusia 30 tahun itu yang membuat penampilan kedua di kejohanan berprestij itu gagal menempatkan diri dalam kelompok 12 terbaik selepas gagal mencatat lompatan setinggi 2.17 meter (m) sekali gus menduduki tempat terakhir daripada 14 peserta.
Hanya 12 peserta yang melakukan lompatan terbaik atau melebihi 2.3m layak untuk beraksi di pusingan akhir kejohanan itu.
Pada penampilan pertamanya di Kejohanan Dunia di London pada Ogos 2017, beliau berjaya melepasi 2.26m tetapi gagal layak ke pusingan akhir.
Nauraj Singh yang berada di ranking ke-36 dunia adalah pemegang rekod kebangsaan selepas berjaya mencatat lompatan 2.30m pada Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura pada 2017.
Sebagai rekod, pada edisi Kejohanan Dunia 2019 di Doha, Qatar, Lee Hup Wei mencipta sejarah menjadi atlet pertama Malaysia mara ke pusingan akhir dalam kejohanan berprestij itu, sejak diperkenalkan pada 1938 oleh Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF).
Kejayaan itu hadir selepas Hup Wei melakukan lompatan setinggi 2.29m di pusingan kelayakan sebelum menamatkan saingan final di kedudukan kelapan daripada keseluruhan 12 atlet dengan catatan 2.27m.
Selepas gagal menempatkan diri dalam pusingan akhir, tumpuan Nauraj kini terhadap temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang dijadual berlangsung dari 28 Julai hingga 8 Ogos ini. – Bernama