KUALA LUMPUR – Perdana Menteri sewajarnya campur tangan dan menyelesaikan isu pembekuan pekerja asing secara terus dengan Indonesia tanpa membabitkan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri.
Langkah itu juga dapat memperbaiki semula hubungan Malaysia dengan Indonesia.
Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, ini kerana dua menteri daripada kementerian terbabit yang mencetuskan masalah ini hingga mengakibatkan pembekuan pekerja asing Indonesia.
“Ismail sepatutnya berhenti menugaskan masalah ini tetapi mengambil sendiri tanggungjawab apabila ekonomi negara, komuniti perniagaan dan rakyat mahukan penyelesaian segera.
“Ismail harus belajar untuk menjadi sebahagian daripada penyelesaian dan bukannya menjadi sebahagian daripada masalah supaya pertumbuhan ekonomi tidak terbantut akibat ketidakcekapan dan ketidakmampuan kerajaannya,” kata Guan Eng.
Menurutnya, ketika Malaysia menghadapi tekanan inflasi dan kenaikan harga ditambah lagi dengan penyusutan nilai ringgit yang cepat, kekurangan buruh asing yang teruk memaksa banyak perniagaan mengurangkan operasi mereka atau menolak pesanan baharu.
Katanya, tidak pernah keadaan menjadi sebegini seteruk sebelum ini.
Disebabkan kekurangan 1.2 juta pekerja, industri perladangan dan sarung tangan getah sahaja menghadapi kerugian RM21 bilion dan kerugian boleh mencecah puluhan bilion ringgit lebih lagi jika sektor lain diambil kira bersama, dakwanya.
”Keadaan yang mendesak ini tidak boleh diterima kerana ia boleh diselesaikan dengan mudah dengan kuasa atau campur tangan secara terus oleh Perdana Menteri,” menurut Guan Eng lagi.
Duta Besar Indonesia ke Malaysia Hermono telah mengumumkan pembekuan sementara pekerja asing dari Indonesia ke Malaysia, dengan mengutuk Malaysia kerana mungkir janji dalam memorandum persefahaman (MoU yang ditandatangani oleh Menteri Sumber Manusia S. Saravanan berkenaan pembantu rumah Indonesia hanya tiga bulan lalu.
Mengulas tindakan Indonesia, Guan Eng berkata, Saravanan dengan tiada rasa malu dan tanggungjawab tidak mempertikaikan tuduhan Hermono tetapi hanya berkata Kementerian Sumber Manusia akan mengadakan perbincangan segera dengan Kementerian Dalam Negeri.
”Bagaimanakah kedua-dua Kementerian ini boleh menyelesaikan masalah itu sedangkan mereka yang bertanggungjawab menyebabkan masalah itu pada mulanya?,” katanya yang menyifatkan kes ini klasik seperti dinyatakan Albert Einstein bahawa “kegilaan adalah melakukan perkara yang sama berulang kali dan mengharapkan hasil yang berbeza.” – MalaysiaGazette