Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli semasa hadir pada Kongres Nasional ke-16 Parti Keadilan Rakyat (PKR) di IDCC Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 16 JULAI 2022.

SHAH ALAM –  Sentimen penolakan pendekatan ‘khemah besar’ dalam PKR dilihat besar dan kuat, kata Rafizi Ramli.

Timbalan Presiden baharu itu berkata, sentimen berkenaan dapat dilihat di semua peringkat kepimpinan berdasarkan keputusan pemilihan parti baru-baru ini.

“Saya pasti antara beberapa perkara yang paling utama dibincangkan ialah mekanisme untuk kita menghadapi pilihan raya.

Daripada keputusan-keputusan pemilihan setakat ini baik di peringkat tertinggi kemudian di peringkat Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita semalam, nampak sentimen menolak khemah besar ini adalah kuat dan ia diterjemahkan di peringkat pertandingan Timbalan Presiden ke bawah, sayap AMK, Wanita,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Kongres Nasional PKR Ke-16  di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) hari ini.

Jelasnya, sentimen disuarakan akar umbi tidak boleh ditolak oleh parti dalam mencari penyelesaian terbaik untuk menguatkan Pakatan Harapan (PH) sebagai parti pembangkang dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Maksudnya kepimpinan baharu yang dilengkapkan dalam satu, dua minggu akan datang  perlu mencari jalan yang paling baik untuk menggarap kekuatan semua pembangkang tetapi pada masa yang sama ada dua pertimbangan yang tidak boleh ditolak .

Yang pertama, sentimen akar umbi PKR dan penyokong-penyokong PH di bawah, yang mana kepimpinan parti perlu perhalusi setiap usaha untuk membawa parti-parti lain bersama-sama.

Kedua, PKR juga perlu memperhalusi setiap usaha membawa parti-parti lain atau kumpulan-kumpulan lain untuk bersama-sama PKR, selain melihat apakah akan wujud kesan negatif,

“Contohnya, kita membawa pasukan-pasukan, parti lain, jika dapat  membina kekuatan positif tidak mengapa tapi kalau negatif kita kena berhati-hati,” tambah beliau.

Baru-baru ini, Rafizi menggesa ahli PKR memilih 20 calon MPP bagi melengkapkan barisan kepimpinan sesi 2022-2025 dalam kalangan mereka yang menolak idea khemah besar. -MalaysiaGazette