Zahari menandatangani plak perasmian “Kick Off” Kembara Akuakultur “Jom Makan Ikan Air Tawar” di Segamat, Johor.

SEGAMAT – Johor menyasarkan peningkatan hasil keluaran ikan air tawar kepada 78 peratus bagi memenuhi permintaan pasaran dalam negeri menjelang 2027.

Exco Pertanian Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar, Datuk Zahari Sarip berkata, bagi mencapai sasaran itu, sekurang-kurangnya tiga pusat pembenihan dan pembiakan ikan air tawar bakal dibangunkan di tiga zon di negeri tersebut.

Peratusan itu melihatkan peningkatan daripada unjuran 23,952 matrik tan pada tahun 2022 kepada 38,783 matrik tan pada 2026, ujarnya.

Tambah beliau, sektor perikanan akan dibangunkan secara berdaya saing melalui teknologi baharu yang lebih efektif.

“Pelbagai inisiatif akan dijalankan termasuklah Projek Pembangunan Akuakultur Air Tawar seperti ikan baung dan kelah.

“Sebenarnya kami mahu mengajak orang ramai datang ke kawasan pelancongan dengan daya tarikan perikanan jadi di Sungai Batang ini daripada mereka melihat keindahan kehijauan alam semulajadi selain mereka melihat kecantikan keindahan air terjun mereka juga boleh melibat bagaimana ada ikan ikan boleh bermain di kaki pengunjung.

“Saya difahamkan ikan ini apabila diberi makan dia akan datang dekat dengan kita, jadi hari ini kita lepaskan 1,500 ikan kelah dan kita harap selepas tujuh lapan bulan nanti dia akan membesar dan boleh menjadi daya tarikan pengunjung di kawasan perkelahan tersebut,” katanya.

Berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis “Kick Off” Kembara Akuakultur “Jom Makan Ikan Air Tawar” di Restoran Anjung Selera Ikan Sungai, Taman Pelangi, di sini, hari ini.

Jelas Zahari beliau yakin permintaan terhadap ikan air tawar akan memberi peluang kepada pengusaha baharu. – MalaysiaGazette