KUALA LUMPUR – Presiden Parti Amanah menolak sebarang idea menukar Perdana Menteri ketika ini kerana ia tidak membawa apa-apa manfaat kepada rakyat memandangkan Pilihan Raya Umum (PRU) sudah semakin hampir.
Jelas Mohamad Sabu, memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) tidak mempunyai tarikh tamat.
Sebaliknya, persefahaman yang dicapai adalah mengenai tarikh supaya Parlimen tidak dibubarkan sebelum 31 Julai.
“Kita sendiri tidak pernah desak untuk pilihan raya awal, lagi lewat lagi baik habiskan mandat,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Negeri Selangor Parti Amanah Negara 2022 di Hotel Summit di Subang hari ini.
Ketika di soal tentang pendirian ‘Khemah Besar’, kata Mohamad, partinya tidak bertindak sendirian sebaliknya semuanya Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) akan membuat keputusan.
“Amanah tidak bertindak solo dalam perkara ini, kita ada Majlis Presiden PH. Kita akan buat keputusan bersama-sama,” ujarnya.
Sebelum ini, beliau pernah mendedahkan pendekatan ‘Khemah Besar’ yang dianjur Amanah tidak merangkumi penyatuan atau kerjasama dengan parti-parti yang berada di dalam kerajaan iaitu UMNO, Bersatu atau Pas.
Beliau berkata penyatuan pembangkang amat perlu dalam mengusahakan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15. -MalaysiaGazette